Sunday 20 July 2008

UKM UNGGULI PENDIDIKAN TINGGI NEGARA

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) genap 38 tahun ini. Semenjak ditubuhkan pada 18 Mei 1970, UKM telah melahirkan lebih 130 ribu graduan di dalam pelbagai bidang pengajian. Sudah ramai doktor, jurutera, pentadbir dalam kerajaan, swasta dan badan berkanun dilahirkan oleh UKM. Jelas bahawa UKM yang telah diilhamkan atas aspirasi rakyat sejak awal tahun 1920an khususnya oleh orang melayu telah berjaya seperti yang diimpikan. Malah lebih menarik, setelah 38 tahun dibangunkan, UKM sebagai sebuah universiti yang berteraskan budaya Melayu dan Islam serta menjunjung bahasa melayu sudah mulai setaraf dengan universiti cemerlang di peringkat dunia.

Di peringkat negara, UKM sudah pun diiktiraf oleh pihak kerajaan dengan memenangi Anugerah Kualiti Perdana Menteri pada tahun 2006, dan pada tanggal 11 Oktober 2006 yang lalu UKM telah dinobatkan sebagai salah sebuah daripada empat buah universiti yang berstatus Universiti Penyelidikan di Malaysia. UKM juga telah memenangi pelbagai anugerah kecemerlangan penyelidikan di peringkat antarabangsa dan di dalam negara. Kini UKM terus mengorak langkah untuk menjadi sebuah institusi pengajian tinggi di Malaysia yang tersohor. Para pimpinan UKM, para ahli akademik serta kakitangan memahami aspirasi murni rakyat dan terus berusaha untuk memajukan UKM bersama-sama.

Sejajar dengan usaha meningkatkan lagi kecemerlangan UKM, pada 18 Januari 2008 yang lalu, Naib Canselor UKM yang ke-lapan, Profesor Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin telah membentangkan syarahan Naib Canselor beliau yang bertajuk UKM ke Arah Universiti Penyelidikan Unggul. Syarahan ini merupakan syarahan tahunan yang dihadiri oleh para ahli akademik IPTA, para jemputan khas, kakitangan akademik, kakitangan sokongan serta para pelajar UKM. Lebih 1,500 orang jemputan memenuhi Dewan Tun Abdul Razak (DECTAR) untuk mendengar syarahan pemimpin nombor satu UKM ini.

Setelah lebih setahun menerajui UKM, beliau telah membuat banyak analisis, mengkaji kejayaan universiti luar negara, berbincang dengan ramai orang dari pelbagai pihak di UKM dan luar UKM, mengkaji secara terperinci kekuatan, kelemahan, kekangan serta peluang yang melingkungi UKM dan tidak syak lagi syarahan beliau ini adalah berasaskan semua input yang beliau rumuskan untuk dibentangkan kepada semua yang hadir di dalam majlis tersebut.

Memulakan ucapan, Naib Canselor UKM telah menimbulkan soalan yang menarik kepada para hadirin.”Ke mana UKM akan pergi di dalam dunia penuh persaingan” soal beliau. Beliau telah menyenaraikan beberapa cabaran yang bakal dihadapi oleh UKM khususnya ke arah universiti apex yang terkandung di dalam pelan strategik Kementerian Tinggi Malaysia. Antara cabaran yang perlu ditangani ialah warga UKM perlu memahami perubahan struktur ekonomi lokal berasaskan pengeluaran kepada ekonomi global berasaskan ilmu dan bagaimana warga UKM harus mengambil tindakan yang sewajarnya berkaitan cabaran ini. Oleh itu beliau menasihatkan ahli akademik UKM bersedia memahami serta menganalisis situasi yang berkaitan liberalisasi, struktur mobiliti kewangan dan keperluan untuk menguasai kecekapan di dalam menguruskan ilmu serta inovasi. Cabaran lain ialah status sebagai sebuah universiti penyelidikan menuntut UKM lebih proaktif dan memiliki warga kerja produktif.

Mengambil contoh syarikat syarikat pasaran baru muncul yang mempunyai daya saing yang kuat dan memiliki pekerja bermotivasi tinggi seperti Levono, Samsung, MISC dan Infosys, ‘UKM harus bergerak lebih pantas seperti syarikat-syarikat tersebut’, ujarnya. Sehubungan dengan itu UKM harus bersedia untuk melaksanakan kolaborasi dengan universiti-unversiti tersohor di dunia,begitu juga dengan syarikat gergasi di dalam industri, merancang menarik lebih ramai profesor ulung serta berusaha untuk mengambilalih dan menjana teknologi baru. Oleh itu apabila UKM dianugerahkan status universiti penyelidikan pada tahun 2006, fokus telah diberikan kepada tiga agenda utama iaitu meningkatkan kualiti akademik, melaksanakan lebih banyak penyelidikan serta mengerakkan lebih banyak program program khidmat masyarakat.

Agenda UKM di dalam meningkatkan kualiti akademik diharapkan akan melahirkan lebih ramai tenaga modal insan bagi memenuhi kehendak majikan serta negara. Pada masa yang sama UKM akan memastikan bahawa tanda aras majikan diambilkira di dalam menyediakan modal insan keluaran UKM. Penanda aras juga penting kepada penyediaan graduan yang ingin menjadi usahawan selepas tamat pengajian mereka. Agenda kedua UKM adalah membina budaya penyelidikan yang tinggi di kalangan para tenaga penyelidiknya. Sesuai dengan itu, berbagai aktiviti telah dirancang untuk dilaksanakan seperti menjana, menyerap serta mengadaptasikan ilmu dari seluruh dunia. Selain itu UKM juga berusaha untuk mencari pengetahuan baru, mencari idea, melakukan inovasi serta menghasilkan ciptaan yang bernilai tinggi. Agenda ini akan menjadikan UKM sebagai pusat pemerolehan dan juga pusat pengembangan teknologi negara.

Agenda ketiga, iaitu meningkatkan khidmat masyarakat dirancang dengan cita-cita agar UKM dalam masa yang terdekat berupaya menjadi role model kepada konsep pengukuhan perpaduan, jatidiri kebangasaan dan juga keadilan sosial. Sejajar dengan itu para pelajar serta tenaga akademik digalakkan terlibat dengan aktiviti berasaskan khidmat masyarakat. Menjadi kebiasaan di UKM, pada setiap minggu para pelajar UKM akan ke kampung-kampung dan sekolah, hospital, rumah orang tua dan anak yatim memberikan bantuan khidmat sebagai menyahut seruan membina masyarakat penyayang yang digalakan oleh pihak kerajaan. Pada akhirnya, UKM diharapkan bersedia untuk memberikan sumbangan kepada kesejahteraan negara dan masyarakat sejagat dalam lingkungan yang lebih besar.

Sejak UKM berjaya mencapai tahap sebagai salah sebuah universiti antara 200 yang terbaik dunia dua tahun lalu, impian untuk menjadi universiti kelas dunia tumbuh subur di kalangan para ahli akademiknya. Impian ini nampaknya semakin meresap menjiwai warga UKM. Mereka percaya bahawa jika berkerja kuat, bersatu hati serta dipimpin oleh pentadbir universiti yang dinamik, impian untuk menjadi sebuah universiti kelas dunia akan berhasil tidak lama lagi. Oleh itu di dalam ucapannya, Naib Canselor UKM menekan soal menghasilkan penerbitan berasaskan penyelidikan yang berkualiti di dalam jurnal antarabangsa yang berimpak tinggi. Beliau juga menyarankan supaya warga akademik UKM harus sentiasa berani untuk menonjolkan kebolehan dan keupayaan tanpa perlu menunggu lebih lama. “Kita harus berani untuk bersaing demi menjadi yang terbaik’ ujar beliau kepada seluruh waraga akademik UKM di dalam syarahan tersebut.

Prof Dato’ Dr Sharifah Hapsah juga telah mengemukakan enam tujahan atau fokus utama yang akan digerakkan oleh UKM bagi menjadi universiti penyelidikan yang unggul. Tujahan tersebut, pertamanya pembangunan jatidiri kebangsaan, kepelbagaian budaya dan globalisasi. Kedua, menekan penyelidikan berkaitan pembangunan lestari wilayah. Ketiga, meneroka tenaga keterbaharuaan. Keempat, memajukan teknologi kesihatan dan perubatan. Kelima, menguasai bidang perubahan iklim dan yang terakhir ialah menyelidik berkaitan nanoteknlogi dan bahan termaju. Semua tujahan ini telah diibentangkan adalah berasaskan kepada keadaan serta kekuatan yang telah sedia ada dimiliki oleh UKM. Melalui enam tujahan ini, belaiu yakin UKM akan berupaya berkembang dengan lebih terfokus serta berupaya dengan lebih cepat menjadi universiti penyelidikan yang terunggul. “Kita tidak boleh cemerlang dalam semua bidang lebih-lebih lagi jika dilakukan secara terpisah”, ujar Prof Dato’ Dr Sharifah.

Pengalaman di kebanyakan universiti yang telah berjaya mencapai tahap kelas dunia, ialah mereka (universiti) berkeupayaan untuk melakukan pemilihan tujahan dan kemudian menyepadukan dengan semua aktiviti kampus secara konsisten. Hal ini perlu diadaptasikan oleh UKM untuk terus berkembang maju dan berbeza dengan universiti yang lain samada di Malaysia atau wilayah di rantau ini. Apabila sesebuah universiti telah mengenalpasti tujahan yang jelas, secara langsung universiti tersebut akan dapat mengagihkan sumber secara berkesan, menjadi lebih relevan di pasaran berbanding pesaing, menarik pelaburan yang lebih besar khususnya di peringkat antarabangsa serta merangsang usaha daya cipta baru dan menambahnilai hasil sedia ada.

Beliau juga banyak menyentuh kepada sistem penyampaian yang berkesan untuk menjadikan UKM sebagai sebuah universiti penyelidikan yang unggul. Sistem penyampaain tidak syak memang sentiasa melemahkan organisasi jika tidak dipantau dan diselia secara serius. Kelemaham sistem penyampaian akan melambatkan proses kerja dan pada akhirnya menghasilkan produk yang tidak berkualiti, ketinggalan serta tidak berdaya saing. Oleh itu penekanan kepada sistem penyampaian akan membawa UKM maju ke hadapan serta menguasai persaingan yang ada. Bagi memastikan sistem penyampaian UKM sentiasa berkesan, Prof Dato’ Dr Sharifah Hapsah mencadangkan beberapa langkah praktikal yang perlu dilakukan dengan kadar segera dan menyeluruh. Antaranya, menyusun semula organisasi dan governan UKM, melakukan pengukuhan inovasi, menekankan kepentingan kualiti serta merancangkan penjenamaan institusi yang bersepadu. Beliau juga meletakkan kepentingan untuk UKM menyediakan tenaga pelapis sebagai pentadbir dan penyelidik secara sistematik agar kesinambungan memartabatkan UKM sebagai universiti yang unggul berterusan untuk satu jangka masa yang panjang.

UKM pastinya tidak akan melupakan penat jerih masyarakat Malaysia khususnya orang melayu yang telah berjuang sehingga terdirinya sebuah universiti kebangsaan yang boleh dibanggakan. Setelah 38 tahun, kini UKM telah melangkah jauh terkehadapan, berkat kesungguhan para pemimpin dan ahli akademik yang terdahulu. Kini di bawah kepimpinan Prof Dato Dr Sharifah Hapsah, UKM membuka lembaran baru untuk bertekad menjadi sebuah universiti penyelidikan yang unggul. Tidak mustahil jika semua warganya bersatu hati dan menghayati semangat para pejuang penubuhan universiti bertuah ini, satu hari nanti UKM akan melahirkan seorang tokoh ulung yang menjulang Hadiah Nobel yang berprestij, tanda kecemerlanagn ahli akademik UKM di peringkat dunia. Sehingga itu, diucapkan selamat berjuang warga UKM demi maruah bangsa, negara dan agama sebagaimana yang telah diharapkan oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia.

1 comment:

Anonymous said...

Roulette, Blackjack, and Roulette Site Reviewed
Casino luckyclub site review. Live Roulette, Blackjack, and Roulette Site Reviewed · Best roulette games with the highest RTP, bonus codes, and best bonuses · Live Dealer