Sunday 20 July 2008

SEJARAH BANGSA AKAR KEKUATAN ORANG MELAYU

Bangsa Melayu sedang menghadapi krisis identiti. Sedih dan sebolehnya kita cuba menafikan tetapi itulah hakikatnya. Tsunami pilihanraya 2008 bukanlah akar puncanya tetapi lebih berupa isyarat untuk menyedarkan pimpinan Melayu. Krisis identiti mula berlaku apabila bangsa Melayu lupa sejarah bangsanya. Maka jangan hairan jika akhir akhir ini banyak muzakarah dan forum membincangkan masa depan bangsa Melayu. Berbagai pihak mula bercakap soal institusi beraja yang satu ketika dulu tak ada yang berminat untuk membincangkannya, begitu juga soal ketuanan Melayu dan juga tentang agungnya Islam dan bahasa Melayu. Berbagai seminar dan ceramah berkaitan halatuju dan survival politik Melayu diadakan. Mengapa setelah bangsa Melayu khususnya UMNO hilang hampir separuh kuasanya ke tangan pembangkang? Mengapa sekarang?

Masyarakat Melayu umumnya mengetahui bahawa sejarah mereka telah bermula sejak tahun 1400 masihi lagi. Walaupun ada pandangan yang mengatakan sejarah orang Melayu telah bermula lebih awal, tetapi dengan mengambil kira definisi Melayu berasaskan adat resam, raja dan agama Islam maka tidak syak lagi sejarah orang Melayu hanya bermula pada awal tahun 1400 masihi. Jika dihitung tempohnya, sejarah orang Melayu tidaklah begitu panjang berbanding sejarah bangsa utama dunia yang lain yang menjangkau ribuan. Tempohnya baru 600 tahun sahaja.

Mengimbau sejarah, orang Melayu bertuah kerana dianugerahkan oleh Tuhan Yang Esa dengan tanah airnya sendiri yang dinamakan Tanah Melayu (dan kemudian menjadi Malaysia). Orang Melayu bertuah kerana sejak 600 tahun mereka tidak perlu berperang puluhan tahun untuk mempertahankan tanah air mereka. Orang Melayu juga sungguh bertuah kerana merdekanya tanah air mereka di atas meja rundingan dan bukannya di medan peperangan. Lebih bertuah jika difikirkan bagaimana orang Melayu masih terus kekal memerintah sejak 600 tahun dahulu tanah air mereka sendiri. Tetapi tuah tidak akan selalu akan terus menjadi milik orang Melayu. Tuah itu pun bukannya datang bergolek tetapi berkat semangat, doa dan permuafakatan Melayu. Apalah maknanya ketuanan Melayu yang sering diwar-warkan kalau orang Melayu langsung tidak memahami bagaimana ketuanan itu diperolehi. Ketuanan Melayu hanya hasil, tetapi sejarah bangsa Melayu adalah prosesnya.

Pada setiap zaman orang Melayu pasti mengalami perubahan. Sejak era tradisional ke era penjajahan, modenisasi, industri sehingga sekarang globalisasi. Pada setiap era orang Melayu sentiasa berusaha untuk berubah untuk menjadi bangsa yang lebih baik. Tetapi fakta sejarah menunjukkan sebaik manapun pencapaian orang Melayu, pastinya akan ada bangsa lain mendapat pencapaian yang lebih baik. Sebagai contoh, walaupun kerajaan Melayu Melaka dipimpin oleh Kesultanan Melayu dan para pembesar adalah orang Melayu tetapi yang mengaut laba dan hasil negeri Melaka adalah pedagang Arab, Cina dan India. Bila penjajah Inggeris membantu membangunkan sekolah Melayu tatkala masyarakat bukan Melayu terpaksa berhempas pulas membangunkan sistem pendidikan mereka sendiri, sepatutnya pendidikan orang melayu jauh lebih maju, tetapi sebaliknya lebih ramai orang yang berpendidikan tinggi adalah dikalangan masyarakat bukan Melayu. Bila universiti mula ditubuhkan oleh kerajaan dengan memperkenalkan sistem kuota demi bangsa Melayu, tetapi sebaliknya para graduan terbaik bilangan teramainya adalah di kalangan bukan Melayu.

Apabila Dasar Ekonomi Baru diberikan kepada kalangan bumiputera khususnya kalangan Melayu sebagai satu keistimewaan, yang menjadi kaya raya rata rata bukan orang Melayu dan walaupun kuasa politik dipegang oleh orang Melayu, pimpinan Melayu terpaksa merayu dan melobi pengundi bukan Melayu untuk memerintah, tak kisah daripada parti kerajaan atau pembangkang. Memikirkan hal ini sudah cukup memenatkan. Maka apabila ada tokoh Melayu mula keluar parti semata mata kerana tidak berpuashati dnegan rakannya separtinya satu masa dahulu, fikiran yang sedang penat mula menjadi bosan. Jelas sekali orang Melayu yang dikatakan telah maju semakin lupa sejarah bangsa mereka. Mereka khususnya para pemimpin mulai lupa hakikat bahawa sebagai pemimpin, mereka datang dan pergi. Hari ini dengan kudrat dan tenaga yang ada mereka membangunkan anak bangsa mereka, sampai masanya orang lain akan mengamtikan mereka. Apa yang penting ialah teruskan perjuangan membangunkan anak bangsa, tidak berpecah belah tetapi sentiasa bertimbang tara dan berbincang. Yang berpengalaman memberi nasihat, yang muda menimbangkannya. Pada akhirnya bangsa melayu tak akan rugi dan terus maju ke hadapan.

Sejarah bangsa Melayu yang menjangkau 600 tahun nampaknya tidak begitu dihayati oleh para pimpinan dan masyarakat umumnya. Rasuah, penyalahgunaan kuasa untuk keluarga dan rakan-rakan, tidak amanah, suka berpoya-poya, suka memegang kuasa walaupun terpaksa bersengketa sesama sendiri nampaknya masih begitu kuat menguasai sebahagian pimpinan Melayu. Nasihat cendiakawan Melayu agar pimpinan Melayu memperbetulkan keadaan ini nampaknya gagal. Pimpinan melayu semua peringkat serta bangsa melayu secara umumnya masih tidak belajar atau kurang insaf bagaimana jatuhnya Melaka kepada Portugis kerana khianatnya pembesar Melayu yang bersekongkol dengn pedagang asing yang mencari keuntungan segera, atau bangsa melayu telah lupa tragedi Perjanjian Pangkor dek kealpaan kepemimpinan Melayu seluruh negeri tergadai kepada penjajah barat. Pimpinan Melayu juga mungkin sudah lupa bagaimana sukarnya orang Melayu menentang Malayan Union sehingga berjaya. Apakah pimpinan Melayu tidak ingin menjadi seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Tok Bahaman atau Dol Said, berkorban nyawa semata-mata untuk perjuangan bangsa Melayu. Jangan kerana kita sudah berkot dan bertali leher, selesa berucap di dalam bahasa asing, menaiki kereta mewah dan tinggal di rumah yang cantik maka agenda bangsa Melayu tidak menjadi keutamaan lagi.

Mungkin di kalngan pimpinan Melayu kita sudah tidak boleh menterjemahkan semangat perjuangan bangsa lagi. Pimpinan Melayu yang ikhlas menjulang perjuangan bangsa akan sentiasa bersatu, tidak berpecah belah, amanah dan ikhlas dalam perjuangan, tidak berharap kepada kedudukan dan pangkat serta komited dengan perjuangannya membela masyarakat Melayu. Malangnya pimpinan Melayu semakin lupa sejarah. Kita mungkin biasa mendengar ucapan yang hebat pemimpin melayu dengan hujah-hujah yang sebenarnya telah disediakan oleh pembantu mereka, tetapi yang nampak di luar belum tentu sama dengan apa yang ada di dalam hati mereka. Semoga Allah sahaja yang mengetahui apa yang ada di dalam hati dan sanubari para pimpinan Melayu, rakyat hanya boleh berdoa agar pemimpin mereka benar-benar ikhlas berjuang.

Bukan sahaja lupa kepada sejarah bangsa, masyarakat Melayu juga gagal menterjemahkan ajaran Islam yang begitu sempurna untuk membina kecemerlangan sepenuhnya. Jelas begitu tebalnya masalah bangsa Melayu untuk menjadi bangsa yang berjaya. Cuba kita teliti satu persatu segmen kehidupan kita dan di mana letak duduknya bangsa Melayu yang berjumlah lebih kurang 15 juta orang. Dalam bidang ekonomi, secara umum kita hanya menguasai 18% agihan kekayaan negara. Selebihnya dimonopoli oleh bangsa bukan Melayu serta syarikat dan konglomerat antarabangsa. Lihat juga sektor pekerjaan, hampir keseluruhan pekerjaan profesional di kuasai oleh bukan bangsa Melayu seperti doktor, jurutera, akauntan serta peguam. Begitu juga sektor ICT, pembankan dan juga pembinaan. Sektor sosial pula menunjuk begitu banyak kewujudan NGO di kalangan masyarakat bukan Melayu. Walaupun ini merupakan sesuatu yang membanggakan sebagai rakyat Malaysia tetapi NGO Melayu masih sangat kurang bilangannya. Kaalu pun ada , NGO Melayu masih terikat kepada soal sukan dan politik semata-mata. Sektor politik walaupun dikuasai oleh bangsa Melayu tetapi bentuknya bukanlah mutlak tetapi atas dasar negosisasi dan ihsan bangsa lain. Jelas walaupun sebagai bangsa majoriti (61%) dari segi penduduk, pencapaian bangsa Melayu masih jauh di belakang. Banyak usaha dan tenaga perlu ditumpukan untuk maju ke hadapan. Berpecah belah dan bersengketa sesama pimpinan Melayu bukan sahaja melambatkan usaha memajukan bangsa Melayu tetapi menarik bangsa Melayu ke belakang semula.

Bangsa Melayu tentu ingin maju ke hadapan dan mahu menjadi bangsa yang lebih hebat 100 tahun akan datang. Tetapi sejarah 600 tahun dahulu perlu diinsafi terlebih dahulu sebelum menjadi bangsa yang hebat. Anak-anak kita diajar di sekolah tentang bersatu padu, cintakan bangsa dan negara tetapi di luar bilik darjah mereka melihat tokoh kebanggaan mereka berpecah belah antara satu sama laian. Ironinya, keadaan ini tidak menguntungkan sesiapa khususnya bangsa Melayu itu sendiri. Para pimpinan Melayu dianjurkan supaya perkasakan keinsafan mereka terhadap sejarah bangsa Melayu untuk menjadikan mereka pemimpin sebenar bangsa Melayu. Tunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat. Rakyat juga harus turut insaf dan mulai membaca sejarah bangsa sendiri. Percayalah, hanya pemimpin yang menginsafi sejarah bangsanya sahaja akan berjuang untuk menjadikan bangsanya hebat dan berdaulat.

No comments: