Sunday 20 July 2008

PERKASAKAN PENGAJIAN HUBUNGAN ETNIK



Piliharaya ke 12 telah pun berlalu. Bagi calon yang menang, sekarang sibuk dengan tugasan bersama rakyat. Bagi yang kalah, mereka juga tentunya sibuk berkira-kira bagaimana untuk menang di dalam piliharaya yang akan datang jika terpilih lagi sebagai calon. Apa yang pasti kempen piliharaya telah meninggal luka dan parut kepada banyak kumpulan tidak terkecuali kumpulan etnik. Segala kata mengata, sindir menyindir serta benci membenci khususnya yang melibatkan kumpulan etnik haruslah dilupakan segera dan kembali memperkasakan hubungan etnik demi kestabilan dan keharmonian negara. Tidak syak lagi selepas PRU 12, tanggungjawab bersama kita adalah untuk memastikan hubungan etnik sentiasa kukuh dan baik.

Institut Kajian Etnik atau singkatannya KITA telah mula beroperasi pada November 2007 lalu di Universiti Kebangsaan Malaysia di bawah pengasas dan pengarah yang pertama, Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin. Kewujudan KITA membuktikan betapa seriusnya perhatian yang diberikan oleh pihak kerajaan berkaitan pembangunan hubungan etnik dan integrasi kaum di negara ini. KITA akan memainkan peranannya sebagai institusi pemikir untuk memantapkan lagi proses hubungan etnik di negara ini melalui penyelidikan, penerbitan bahan ilmiah, perbincangan, seminar dan konvensyen serta menunjukkan jalan bagaimana kestabilan sosial dapat dicapai melalui pembudayaan hidup yang memperakukan kepelbagaian etnik. Kewujudan institut ini selain dapat dimanafaatkan oleh rakyat di dalam negara, diharap akan menjadi pusat rujukan oleh masyarakat antarabangsa di dalam berbagai bidang yang berkaitan dengan pengajian etnik misalnya kolonialisme, globalisasi, agama, media, bahasa, konsumerisme, pendidikan, pekerjaan, perbandaran, kesenian serta undang-undang.

Minggu lepas penulis berkesempatan berbincang isu perpaduan nasional dan hubungan etnik bersama pelajar-pelajar di dalam kelas. Persoalan utama yang cuba penulis kemukakan ialah apakah pemahaman pelajar di universiti tentang maksud perpaduan kaum dalam kontek hubungan etnik di Malaysia. Kumpulan pelajar ini terdiri di kalangan pelbagai etnik dan mereka merupakan para bakal guru apabila tamat pengajian kelak. Hasilnya, pelbagai jawapan diperolehi oleh penulis. Kebanyakan jawapan yang diberikan oleh pelajar sangat menarik dan di luar jangkaan penulis sendiri. Penulis dapat membahagikan semua jawapan itu kepada tiga yang utama. Bagi kumpulan pertama, maksud perpaduan ialah kita semua adalah sama atau homogen di dalam semua atau sebahagian besar di dalam kehidupan kita. Maksudnya kita bertutur dalam bahasa yang sama, mempunyai sistem pendidikan yang sama, agenda kebudayaan yang sama menerimapakai sistem politik yang sama serta bersetuju dengan agihan ekonomi yang diamalkan. Ringkasnya, kumpulan ini berpandangan tanpa persamaan atau homogenisasi, perpaduan etnik tidak akan terlaksana dan mereka juga berpendapat pihak kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya untuk memgubal dasar bagi menghomogenasikan masyarakat yang pelbagai jika perpaduan bentuk ini ingin dijayakan. Maka dasar pendidikan, kebudayaan serta dasar dasar sosial yang lain akan menjadi agenda utama perpaduan etnik.

Kumpulan kedua pula berpandangan bahawa perpaduan boleh dicapai dengan membiarkan setiap kumpulan etnik bergerak di dalam ruang yang tersendiri, asal tidak mengganggu gugat sempadan dan ruang kumpulan etnik lain. Apa yang penting ialah perlunya ada rasa toleransi serta persefahaman yang baik di antara kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain. Tugas pihak pemerintah ialah membuat penyelarasan agar setiap kumpulan etnik mendapat peluang berdasarkan undang-undang serta dasar dasar yang diperkenalkan.

Kumpulan tiga pula memberikan definisi yang pada pemikiran penulis memanifestasikan kumpulan yang mewakili masyarakat Malaysia pada masa depan. Kumpulan ini melihat perpaduan kaum sebagai mendokong fahaman pluralisme dan liberalisasi di dalam masyarakat sepenuhnya. Maknanya, tanpa mengambilkira kepelbagaian yang wujud di dalam masyarakat, semua ahli masyarakat mempunyai hak dan bertanggungjawab yang sama di dalam semua perkara. Kepelbagaian dihormati dan difahami tetapi tidak bermaksud bahawa kepelbagaian adalah satu kelebihan yang memberikan keistimewaan untuk membezakan seseorang dengan orang atau kumpulan etnik yang lain.

Meneliti perkembangan perpaduan kaum di Malaysia, kita sekarang sedang memasuki gelombang ketiga ini. Walaupun kewujudannya masih baru tetapi kehadiran gelombang ketiga ini semakin dirasai oleh ahli masyarakat khususnya di kalangan kumpulan muda. Kadang kala apabila anak-anak muda tidak begitu mementingkan rasa etnosentrik etniknya, hal ini dirujuk oleh golongan tua sebagai orang muda sudah lupa dan lalai, tidak sayangkan bangsanya serta berbagai lagi. Mungkin ada benarnya tetapi kita juga harus memahami citarasa orang muda bukan sahaja berubah di dalam citarasa makanan, cara berpakaian tetapi juga di dalam hal yang berkaitan dengan politik, pekerjaan serta perpaduan kaum. Oleh itu citarasa ini perlu dikaji dan diteliti oleh para pengkaji agar perancangan pihak kerajaan akan dapat disesuaikan degan pandangan serta citarasa orang muda.

Masyarakat Tanah Melayu pada satu ketika dulu di era pra kolonialisme memahami dan mengamalkan perpaduan etnik dalam bentuk homogeni. Kerajaan Melayu misalnya, telah berjaya melaksanakan dasar bahasa sehingga bahasa melayu menjadi bahasa untuk semua. Oleh itu, para pedagang China dan India serta Arab berusaha menguasai bahasa Melayu apabila mereka berada di Tanah Melayu khususnya Melaka, malah Bahasa Melayu pernah dikenali sebagai bahasa lingua franca pada satu masa dahulu. Inilah gelombang pertama apabila kita bercakap soal perpaduan kaum dan hubungan tenik di Malaysia.

Semasa penjajah meninggalkan Tanah Melayu, mereka telah pun menanamkan dengan begitu kuat bentuk perpaduan kaum yang direkabentuk sebelumnya untuk tujuan dan kepentingan mereka. Berbagai dasar diperkenalkan hingga setiap etnik tidak perlu berinteraksi antara satu sama lain, tetapi terus merujuk kepada pengawai kolonial bila memerlukan sesuatu. Maka dasar-dasar keselamatan, ekonomi, pentadbiran, migrasi serta tanah dibentuk mengikut keperluan setiap etnik. Pengamalan ini pernah disebut oleh Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharudin, sebagai pembentukan Ilmu Kolonial yang menyerap dan memenuhi ruang epistemologi masyarakat Tanah Melayu dan Malaysia kemudiannya. Ilmu kolonial kemudiannya telah diwariskan kepada para pemimpin Tanah Melayu. Oleh kerana Malaysia mendapat kemerdekaan secara rundingan dan proses ke arah kemerdekaan berjalan dalam suasana yang baik tanpa pertumpahan darah maka tiada rasa dendam dan benci yang membara, maka hampir seluruhnya ilmu kolonial ini diterimapakai di dalam menguruskan sebuah negara merdeka misalnya sistem berkerajaan, piliharaya, pendidikan ekonomi, dan sebagainya menggunakan sepenuhnya pemikiran dan model penjajah. Penerimaan ilmu kolonial ini juga terbawa bawa di dalam kita menguruskan hubungan etnik di negara ini. Kita mengekalkan sistem pendidikan vernakular sebagai identiti utama sistem pendidikan kebangsaan, kita juga menerima pakai konsep pengagihan ekonomi yang berasaskan etnisiti. Sejak itu juga rakyat diajar bahawa perpaduan bermaksud setiap kumpulan etnik hidup di dalam ruang dan menjalankan kehidupan mereka sendiri dan tidak perlu berinteraksi dengan etnik lain.

Sekarang, petunjuk bahawa kita sedang memasuki gelombang ketiga hubungan etnik di Malaysia semakin dirasai. Pilihanraya ke 12 baru baru ini jelas menunjuk faktor etnik bukan lagi asas untuk pengundi membuat keputusan, tidak seperti pilihanraya yang lalu. Parti berasaskan etnik tidak lagi sepopular dulu tetapi rakyat mula memilih parti multi etnik. Orang Melayu mula lebih terbuka apabila bertindak mengundi calon dari etnik Cina dan India. Orang India juga mula mengundi secara beramai ramai calon Melayu dan Cina. Malah tindakan yang sama juga mula diikuti oleh pengundi Cina. Pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran dan Kementerian Tinggi serta Jabatan Perpaduan Negara seharusnya melipatkan usaha untuk memimpin ruaag gelombang ketiga ini demi menguruskan secara berkesan hubungan etnik.

Ciri utama gelombang ketiga ialah maklumat menjadi asas pengetahuan serta panduan kepada tindakan masyarakat. Masyarakat muda khususnya dahagakan maklumat bukan sahaja berkaitan kaumnya tetapi juga maklumat berkaitan kaum kaum utama di negara ini. Persembahan maklumat jangan pula dibentangkan dalam bentuk yang asas sahaja tetapi memerlukan analisis serta persembahan fakta agar bentuk yang kritis. Ciri kedua, maklumat ini seharusnya telus, beretika serta boleh dipertanggunjawabkan. Ciri ketiga ialah meningkatkan tahap pengetahuan tentang sejarah kontrak sosial dan mengapa kontrak ini diamalkan di dalam sebuah negara merdeka seperti Malaysia. Kontrak sosial ini perlu diterangkan secara jujur kepada semua kaum supaya kumpulan yang mendapat nanti nikmat ini tidak menyalahgunakan.

Meninjau senarai kurikulum matapelajaran di dalam sistem pendidikan di Malaysia, para pelajar hanya mula belajar berkaitan hubungan etnik apabila berapa di tahun pertama semasa di universiti. Sepatutnya tiga komponen utama pendidikan etnik iaitu sejarah setiap etnik, kontrak sosial dan sensitiviti setiap etnik telah dilaksanakan di dalam sistem pendidikan sejak di peringkat sekolah lagi. Keadaan ini bagaimana pun tidak berlaku. Pada peringkat sekolah rendah mereka bukan sahaja tidak diajarkan tentang hubungan etnik dan bagaimana hidup bersama, tetapi atas atas rasa etnosentrik yang tebal, anak anak kecil ini telah diasingkan berdasarkan jenis sekolah. Selama enam tahun yang pertama di sekolah rendah mereka tidak mempunyai sebarang pengalaman yang kuat untuk berinteraksi dengan kumpulan etnik yang lain.

Di peringkat sekolah menengah, sehingga kini tiada kurikulum yang jelas untuk mengajar hubungan etnik. Malah mata pelajaran Sejarah yang diajarkan bersifat melayu-sentrik, tidak juga diterapkan nilai-nilai perpaduan kerana kesuntukan waktu dan guru tiada kemahiran secara konsisten untuk melaksanakannya. Matapelajaran sejarah juga tidak memberikan ilmu berkaitan budaya setiap kumpulan etnik yang bersifat semasa, tetapai membincangkan sejarah masyarakat era abad 18 dan awal abad 19 di mana hubunganya dengan kehidupan pelaja adalah sangat jauh. Manakala di luar bilik darjah, interaksi antara etnik sangat kurang berlaku kerana tiada usaha dan bimbingan guru-guru. Biasanya pelajar cenderung untuk beraktiviti sesama rakan seetnik sahaja. Keadaan ini berdasar kajian, terbawa-bawa hingga pelajar ini belajar di universiti atau di tempat kerja.

Apabila sampai ke universiti, baru para pelajar diajarkan ilmu hubungan etnik. Mereka perlu mengambil kursus Modul Hubungan Enik yang ditawarkan secara wajib di semua universiti. Mungkin sudah agak lewak untuk perlaksanaannya kerana secara psikologi pelajar telah mempunyai identiti, tabiat serta kelakuan yang agak kekal. Oleh itu, pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran perlu melihat semula isi kandungan pendidikan hubungan etnik ini. Demi kemajuan dan kestabilan negara, anak-anak seharusnnya diberikan ilmu hubungan etnik seawal mungkin. Mungkin membina dasar baru untuk satu aliran sekolah kebangsaan akan mengambil masa yang lama atau mustahil tetapi sekurang-kurangnya usaha untuk menghidupkan pendidikan hubungan etnik di peringkat sekolah perlu dilaksanakan secepat mungkin. Semoga kita benar benar menjadi satu bangsa Malaysia pada tahun 2020 nanti.

1 comment:

Anonymous said...

Baccarat: How to play online with the rules of the game
To play baccarat in a casino is quite 바카라 difficult, if you are playing against real people, you deccasino must learn the rules. You might want to look at some 바카라사이트 of the