Thursday 14 August 2008

Friday 1 August 2008

KONFLIK SEKOLAH WAWASAN


Gagasan sekolah wawasan adalah gagasan yang besar, melangkaui kepentingan kaum dan etnik, juga melangkaui batas politik dan sosial. Kegagalannya sejak mula dilaksanakan bukan kerana kelemahan menguruskannya semata-mata tetapi juga kerana sikap tidak ingin memahami keluhurannya, prasangka yang bukan-bukan serta kebimbangan yang melampaui hasrat murni kenegaraan di kalngan sesetengah pihak. Mungkin kita perlu cuba menjayakannya sekali lagi, kali ini dengan lebih bersungguh-sungguh dan bersikap terbuka kepada semua pihak yang terlibat.
Sekolah Wawasan adalah sekolah integrasi yang menempatkan beberapa buah sekolah yang berlainan aliran dalam satu kawasan yang sama. Sekolah-sekolah ini akan berada di bawah satu ’bumbung’ tanpa mengira agama dan bangsa. Konsep Sekolah Wawasan adalah bertujuan menyatukan masyarakat Melayu, Cina dan India melalui satu sistem pendidikan di dalam satu kawasan.
Konsep ini bermakna dua atau tiga buah sekolah yang berlainan aliran dan jenis sekolah dibina dalam kawasan yang sama dan akan berkongsi segala kemudahan asas yang disediakan seperti padang permainan, dewan, kantin, pusat sumber, makmal komputer dan sebagainya. Setiap sekolah akan mempunyai bangunan sendiri yang boleh disambung antara satu sama lain dengan menggunakan sistem laluan berbumbung atau jambatan penghubung (linkway).
Pembentukan Sekolah Wawasan ini tidak sesekali bertujuan mengubah pentadbiran dan sistem pembelajaran yang asal bagi setiap sekolah justeru segala urusan pentadbiran dan pengurusan kewangan akan dikendalikan oleh pihak sekolah masing-masing. Sekolah wawasan mempunyai pentadbiran secara berasingan (Peruntukan Kewangan, Anggaran Belanja Mengurus dan Pembangunan, Guru Besar dan personel yang lain-lain) bagi aliran masing-masing seperti yang dipraktikkan oleh sekolah kerajaan. Setiap sekolah akan mempunyai nama dam logo sekolah yang tersendiri, lagu sekolah dan peperiksaan sekolah masing-masing.
Warga Sekolah Wawasan digalakkan menggunakan sebahagian kemudahan sekolah secara bersama seperti kantin, lapangan perhimpunan, gelanggang permainan dan padang Bagi Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina), Lembaga Pengelola Sekolah yang sedia ada akan terus kekal seperti yang diperuntukkan dalam Akta Pendidikan 1996. Walaupun menggabungkan tiga aliran sekolah iaitu sekolah kebangsaan (SK), SJKT dan SJKC, Sekolah Wawasan tetap mempunyai pusat pentadbiran mengikut aliran masing-masing. Terdapat tiga orang guru besar berbeza dengan kumpulan guru dan juga kakitangan pentadbir yang berasingan. Sekolah Wawasan juga tetap menghormati bahasa dan kebudayaan sekolah masing-masing. Pelaksanaan Sekolah Wawasan akan selari dengan usaha mengekalkan identiti asal sekolah-sekolah berkenaan.
Satu Jawatankuasa Penyelaras yang terdiri daripada Guru Besar dan dua orang guru dari setiap sekolah diwujudkan untuk menyelaras hal- hal pengurusan mengenai kebersihan, keceriaan dan keselamatan sekolah . Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh salah seorang daripada Guru Besar dari Sekolah Wawasan berkenaan secara bergilir-gilir mengikut kesesuaian sama ada satu atau dua tahun sekali. Jawatankuasa Penyelaras tidak akan menggantikan fungsi Lembaga Pengelola SJKK (Cina) dan SJK (Tamil) Kantin sekolahpula akan dikendalikan bersama-sama oleh sekolah-sekolah berkenaan. Dalam urusan makanan, sensitiviti semua kaum akan diambil kira dan bayaran sewa akan diagihkan kepada sekolah -sekolah berdasarkan nisbah murid. Makanan yang disediakan adalah makanan yang halal dan juga turut mengambil kira sensitiviti pelbagai etnik.
Bagi menyelenggara segala hal pada peringkat pengurusan, satu jawatankuasa khas telah terbentuk yang terdiri daripada guru yang diwakili dari setiap sekolah. Konsep sekolah berintegrasi ini diharap dapat merapatkan lagi hubungan pelajar dari pelbagai etnik walaupun berlainan aliran sekolah. Semua murid dari ketiga-tiga aliran sekolah kebangsaan, Cina dan Tamil dapat menyesuaikan diri apabila berkongsi kemudahan dalam satu kompleks Sekolah Wawasan.
Bagi aktiviti kokurikulum, meskipun setiap sekolah mempunyai aktiviti kokurikulum masing-masing, tetapi setiap sekolah digalakkan menjalankan aktiviti kokurikulum tambahan bersama. Ketika aktiviti ini, setiap warga sekolah boleh menggunakan bahasa pengantar masing-masing. Contoh bagi aktiviti tambahan adalah seperti setiap sekolah menghantar wakil terbaik bagi sesuatu aktiviti.
Di samping itu, sekolah berkenaan boleh menghantar wakil sebagai satu pasukan sekolah wawasan dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang melibatkan pasukan yang mempunyai ramai penyertaan. Untuk menggalakkan lagi perpaduan antara kaum, sekolah wawasan diseru untuk mengadakan acara tahunan secara bersama seperti Temasya Sukan Tahunan, Hari Guru, Hari Kebangsaan, dan Hari Kantin.
Antara sekolah wawasan yang telah beroperasi sehingga kini ialah Kompleks Sekolah Wawasan Pekan Baru, Parit Buntar, Perak , Kompleks Sekolah Wawasan Taman Aman, Alor Setar, Kedah , Kompleks Sekolah Wawasan Tasik Permai, Pulau Pinang, Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya, Selangor dan Kompleks Sekolah Wawasan Pundut, Seri Manjung, Perak.

Bagaimanapun konsep sekolah itu ditolak keras oleh dua gabungan persatuan Cina, Dong Jiao Zhong dan Hua Zong. Bahkan dalam satu wawancara dengan pemimpin persatuan ini dalam sebuah akhbar tempatan, dilaporkan bahawa jika konsep sekolah wawasan dipaksakan ke atas masyarakat Cina, mereka akan membuat penentuan dalam pilihanraya. Isu Sekolah Wawasan dikatakan menjadi salah satu faktor penyebab kekalahan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Lunas beberapa tahun lalu. Bantahan ini juga mendapat sokongan padu daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA, MIC dan Gerakan.


Dong Zong ialah sebuah persatuan bukan kerajaan bersifat kebangsaan. Jiao Zong pula ialah persatuan guru-guru, juga ditubuhkan di setiap sekolah dan didaftarkan mengikut NGO. Kedua-dua persatuan inilah yang bertanggungjawab sebagai badan yang mengurus dan mentadbir sekolah Cina, mengutip derma, membiayai segala kemudahan dan berbincang dengan kerajaan dalam isu membabitkan pendidikan Cina. Kedua-duanya bekerjasama. Jadi, dalam apa-apa isu pendidikan persatuan ini biasanya akan bekerja dengan satu suara. Sejarah Persatuan Dong Jiao Zong sudah lama iaitu sebelum merdeka lagi. Jiao Zong ditubuhkan pada 1951 dan Dong Zong pada 1954.

Sejak ditubuhkan, Dong Jiao Zong dianggap ‘jaguh’ dalam memperjuangkan hak dan kepentingan pendidikan Cina di Malaysia. Hari ini badan induk ini bertanggungjawab menyalur dana lebih RM1 bilion setahun untuk membiayai 1,284 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan 60 sekolah menengah persendirian Cina, di seluruh negara. Keadaan ini menyebabkan persatuan ini melihat dan percaya bahawa perlaksanaan sekolah wawasan akan menyebabkan kuasa lembaga pengarah sekolah akan lenyap perlahan-lahan.

Bagi setiap sekolah rendah dan menengah Cina mereka mempunyai lembaga pengarah dan pengelola masing-masing yang ditubuhkan mengikut Akta Pendidikan Kebangsaan. Tetapi lembaga Pengelola Sekolah ini hanya di sekolah Cina saja, tidak ada di sekolah Tamil atau Melayu. Jadi, dengan adanya Sekolah Wawasan maka jawatankuasa gurubesar akan berkuasas dan bertanggungjawab mengurus dan mentadbir sekolah wawasan. Jadi, apakah fungsi Lembaga Pengelola Sekolah Cina. Mungkin ia terus wujud, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa kerana perpindahan kuasa telah berlaku. Inilah yang dirisaukan oleh Persatuan Dong Jiao Zong kerana tiada jaminan atau perjelasan dari pihak kerajaan.

Walaupun ada gesaan supaya para pemimpin MCA menyokong konsep dan memberi penerangan mengenai konsep Sekolah Wawasan kepada masyarakat Cina tetapi pemintaan itu nampaknya tidak begitu dipedulikan. Malah mantan presiden MCA Tun Dr. Ling Liong Sik pernah berkata pihaknya menghormati keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengelola Sekolah Cina yang menolak konsep sekolah wawasan dan pihak kerajaan tidak boleh memaksa sekolah Cina melaksanakan konsep Sekolah Wawasan tersebut. Nada dan reaksi pemimpin parti yang mewakili masyarakat Cina ini nampaknya lebih menjurus kepada sikap perkauman dan bukan untuk membina satu bangsa Malaysia yang dilaung-laungkan oleh mereka sendiri.

Ada juga di kalangan tokoh akademik berpendapat bahawa konsep Sekolah Wawasan yang dicadangkan sebenarnya bukan jawapan kepada keharmonian dan perpaduan kaum. Jaminan bahawa kerajaan tidak akan memaksa mana-mana sekolah menerima Sekolah Wawasan dan tidak akan menghapuskan identiti dan bahasa Cina atau Tamil, dan berjanji tidak akan menutup sekolah kedua-dua aliran itu apabila konsep Sekolah Wawasan dilaksanakan, nampaknya tidak begitu diterima oleh masyarakat Cina dan India. Ini kerana di dalam Sekolah Wawasan pengasingan murid antara kaum mengikut aliran jenis sekolah masih berlaku.

Mereka hanya berkongsi padang dan kemudahan dalam satu kawasan sekolah, sedangkan sistem pendidikannya masih kekal mengikut aliran masing-masing misalnya Melayu, Cina dan India. Perpaduan kaum tidak mampu dicapai hanya di padang sekolah. Tidak munasabah jika hanya dengan bermain bola sepak atau hoki di padang, perpaduan dapat dicapai. Di samping itu apabila Sekolah Wawasan ditubuhkan maka sekolah aliran Cina dan Tamil pula perlu dilayan sama rata dengan sekolah aliran kebangsaan. Jika ia tidak dilayan, maka akan timbul prasangka terhadap satu sama lain.

Satu lagi punca kegagalan Sekolah wawasan ialah ketika ini dikatakan sekolah Cina menghadapi kekurangan lebih 4,000 guru. Kerajaan tidak rancangan untuk melatih guru Cina dengan mencukupi. Tetapi, sekolah Melayu mempunyai lebihan dikatakan mempunyai 20,000 guru lepasan maktab setiap tahun sehingga sukar ditempatkan di sekolah. Jika Sekolah Wawasan dilaksanakan, guru Melayu yang berlebihan itu pastinya diserapkan di sekolah Cina.

Jadi, secara perlahan-lahan, masyarakat Cina percaya keadaan ini akan mengubah sistem sekolah Cina sekarang. Ini sangat dibimbangi oleh Persatuan Dong Jiao Zong. Jika inilah antara punca kegagalan melaksanakan Sekolah Wawasan jelas sekali isu hubungan etnik adalah sangat serius dan dipenuhi dengan rasa curiga dan prasangka hinggakan idea sebaik sekolah wawasan pun mengalami kegagalan. Nampaknya kita hanya membuang masa dan membazir semata-mata.

Sunday 20 July 2008

REVOLUSIKAN SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Setelah menjajah hampir dua abad, kuasa kolonial Inggeris bukan sahaja mewariskan kepada kita sistem berpolitik dan pentadbiran negara, tetapi juga mewariskan kepada kita sistem pendidikanmereka. Setelah 50 tahun merdeka, tidak banyak perubahan yang dilakukan di dalam sistem pendidikan kita kecuali menokok tambah sistem pendidikan yang diperkenalkan oleh British sejak tahun 1819. Antaranya, membina falsafah pendidikan negara yang dikatakan beracuankan Malaysia melalui pengenalan KBSR dan KBSM pada tahun 1980an. Manakala sebahagian besar sistem pendidikan (dasar pendidikan, struktur organisasi dan aktiviti institusi) masih lagi mengekalkan warisan pendidikan kolonial. Mungkin ada yang tidak bersetuju khususnya di kalangan pegawai Kementerian Pelajaran, tetapi jika diteliti, hakikat ini tidak dapat dinafikan. Antara yang ketara, kita masih mengekalkan sistem pendidikan vernakular berasaskan etnik, mengagungkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, memisahkan pendidikan Islam daripada pendidikan ilmu sosial dan teknikal. Pengenalan PIPP walaupun dilihat seperti cuba melengkapi kelemahan ini, perlaksanaanya masih belum membuktikan apa-apa kejayaan setakat ini.

Soalnya, apakah mewarisi sistem kolonial itu menjadi satu kesalahan? Adakah kalau kita belum mempunyai sistem pendidikan beridentiti Malaysia itu satu kekurangan? Atau tidak bermutukah pendidikan kita jika tidak menggunakan model pendidikan kolonial British. Persoalan ini sebenarnya sukar dijelaskan secara langsung tetapi perlu difahami terlebih dahulu latarbelakangnya. Sebagai contoh, sistem pendidikan vernakular misalnya walaupun sering dikatakan menjadi duri dalam daging untuk membina perpaduan telah berevolusi selama lebih seratus lima puluh tahun dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja dan sudah menjadi salah satu tradisi di negara kita. Lihat misalnya jadual 1 hingga 3 berkaiatn sekolah mengikut etnik di Malaysia pada tahun 1996-2006.

Jadual 1: Perbandingan Bilangan Sekolah Rendah Kerajaan dan Bantuan Kerajaan Mengikut Jenis bagi tahun 1996 dan 2006

Jumlah

Kebangsaan

SRJK (Cina)

SRJK (Tamil)

1996

7030

5,211

1,287

532

2006

7588

5,777

1,288

523

Sumber: Perangkaan Pendidikan Malaysia : 1996 dan 2006, Kementerian Pelajaran

Malaysia.

Jadual 2: Perbandingan Jumlah Bilik Darjah Mengikut Jenis Sekolah Rendah Kerajaan dan Bantuan Kerajaan bagi tahun 1996 dan 2006

Jumlah

Kebangsaan

SRJK (Cina)

SRJK (Tamil)

1996

86,293

65,341

16,804

4,148

2006

103,421

80,007

18,981

4,433

Sumber: Perangkaan Pendidikan Malaysia : 1996 dan 2006, Kementerian

Pelajaran Malaysia.

Jadual 3: Perbandingan Jumlah Pelajar Mengikut Jenis Sekolah Rendah

Kerajaan dan Bantuan Kerajaan bagi tahun 1996 dan 2006

Jumlah

Kebangsaan

SRJK (Cina)

SRJK (Tamil)

1996

2,844,666

2,152,912

592,243

99,511

2006

3,136,641

2,394,813

638,136

101,882

Sumber: Perangkaan Pendidikan Malaysia : 1996 dan 2006, Kementerian

Pelajaran Malaysia.

Setelah lima puluh tahun merdeka, sistem pendidikan masih mempunyai beberapa kekurangan yang sangat perlu kita selesaikan. Setelah mengumpul dan meneliti beberapa dokumen penyelidikan serta kertas perbincangan akademik berkaitan pendidikan kebangsaan, penulis dapat menyenaraikan lima isu utama pendidikan yang perlu direvolusikan oleh pemimpin di peringkat Kementerian Pelajaran. Pertamanya, Kementerian Pelajaran perlu meneliti semula secara menyeluruh kandungan kurikulum yang semakin tidak relevan di sekolah. Bayangkan, mengapa di dalam suasana pelajar sudah boleh mengakses kepada maklumat melalui internet, kandungan kurikulum sejarah khususnya zaman kerajaan pra sejarah masih dimasukkan dengan begitu mendalam di dalam buku teks sejarah. Pada masa yang sama, sejarah tahun 1970an dan 1980an sangat kurang disentuh di dalam kurikulum sejarah. Malah subjek sejarah juga sepatutnya disepadukan dengan kemahiran pembelajaran multibudaya sesuai dengan kehidupan masyarakat plural di Malaysia. Lihat misalnya Jadual 1: Agihan Populasi Berdasarkan Kumpulan Etnik di Malaysia pada tahun 2007.

Kumpulan Etnik

Jumlah

Peratus

Jumlah

27,173,600

100.00%

Warganegara Malaysia

25,265,800

92.97%

Melayu

13,773,100

50.68%

Bumiputera bukan Melayu

2,994,900

11.02%

Cina

6,287,900

23.13%

India

1,883,900

6.93%

Lain-lain

326,000

1.20%

Bukan Warganegara

1,907,800

7.00%

Sumber: Buletin Statistik Sosial, Malaysia 2007, Jabatan Statistik.

Sejarah tidak hanya dipelajari kerana kandungan sejarahnya sahaja tetapi juga dipelajari untuk tujuan memahami kumpulan etnik serta kumpulan agama yang lain agar hubungan etnik di kalangan rakyat akan sentiasa terjalin dengan harmoni.

Keduanya, kita juga menghadapi krisis pembangunan pendidikan bahasa. Walaupun program pemerkasaan Bahasa Inggeris telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan hanya pada akhir tahun ini saja keputusan akan diketahui samada projek ini akan diteruskan atau tidak, tetapi jelas sekali di peringkat masyarakat massa, para guru, penyelidik, ibubapa serta pelajar merasakan perlaksanaan Bahasa Inggeris melalui subjek matematik dan sains bukanlah suatu keputusan yang bijak. Selain jurang antara pelajar di bandar dan luar bandar menjadi semakin melebar dari segi pencapaian, jurang pencapaian juga semakin ketara di kalangan pelajar melayu dan bukan melayu. Malah pelajar melayu khususnya, minat terhadap matapelajaran sains dan matematik juga dikatakan menurun selepas dasar ini diperkenalkan sejak lima tahun lepas. Pada masa yang sama, kita juga mengalami krisis kemerosotan keupayaan Bahasa Malaysia dikalangan para pelajar melayu dan bukan melayu. Sebagai bahasa perpaduan dan juga bahasa komukasi, jelas sekali bahawa Bahasa Malaysia semakin hilang sengatnya. Kalangan remaja melayu khususnya di bandar, mereka sudah mulai kurang bertutur Bahasa Malaysia kerana cara hidup yang lebih mengutamakan bahasa Inggeris. Manakala dikalangan remaja bukan melayu, Bahasa Malaysia hanya digunakan semasa matapelajaran itu diajarkan di dalam bilik darjah. Mereka lebih cenderung untuk mengunakan bahasa ibunda atau bahasa Inggeris di dalam kehidupan harian. Malah pelajar juga dikatakan seringkali gemar menggunakan bahasa Malaysia ‘rojak’ dan tidak berkemahiran menggunakan bahasa Malaysia yang standard di dalam perucapan mereka. Apakah kita rasa selesa dan tidak kisah dengan keadaan seperti ini berlaku kepada remaja kita? Maka itu, pihak kementerian perlu meneliti semula keupayaan serta meningkatkan kapasiti ruang untuk penggunaan Bahasa Malaysia bukan sahaja di dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia tetapi dilaksanakan merentasi kurikulum yang lain. Selain itu, pendidikan menggunakan Bahasa Malaysia dengan betul dan sistematik juga perlu dikemaskan kembali.

Ketiganya, keperluan rasa keinsafan dan keinginan bersungguh-sungguh khususnya di kalangan para pegawai tertinggi Kementerian Pelajaran untuk meningkatkan pembangunan pendidikan di kalangan pelajar di pendalaman, luar bandar serta setinggan di bandar. Peruntukan khas juga sememangnya diperlukan untuk membantu kumpulan ini secara berterusan. Kumpulan ini sebenarnya memerlukan lebih daripada apa yang ada sekarang. Di atas dasar pendidikan untuk semua serta pendemokrasian pendidikan, kumpulan yang kurang bernasih baik kerana kemiskinan ibubapa perlu dibantu sehingga mereka dapat keluar daripada lingkungan kedaifan untuk mendapat pendidikan. Perlunya satu dasar dan strategi yang besar untuk menyelesaikan isu ini di pihak Kementerian Pelajaran. Sehingga kini, tiada satupun strategi yang dapat dinobatkan sebagai berjaya meningkatkan peluang pendidikan bagi mereka yang tinggal di pendalaman khususnya Sabah, Sarawak serta Kelantan. Begitu juga dengan kumpulan pelajar di luar bandar yang hidup serba kekurangan dan juga anak-anak di kawasan setinggan yang tertekan untuk mendapat pendidikan yang sempurna dan berkualiti.

Isu ke empat ialah penekanan yang keterlaluan terhadap sains dan teknologi tidak akan melahirkan keseimbangan individu seperti yang diharapkan di dalam falsafah pendidikan negara. Penekanan juga harus diberikan kepada pembangunan estetika dan seni budaya kepada para pelajar. Ilmu muzik, tarian, seni tampak dan seni halus perlu digabungkan di dalam kurikulum sekolah agar para pelajar memiliki jiwa yang halus serta menghargai kehidupan dan budaya. Malangnya oleh kerana kesibukan pihak sekolah mengajar sains dan teknologi akhirnya menghasilkan insan yang bukan sahaja tidak mempunyai minat di dalam menghargai seni dan budaya tetapi juga menipiskan jatidiri serta identiti bangsa. Pihak kementerian perlulah menyusun semula kurikulum agar lebih holistik dan menimbangkan pembangunnan pelajar secara menyeluruh dan seimbang.

Akhir sekali, kita perlukan revolusi pendidikan yang besar jika ingin melihat Islam sebagai agama yang memandu kehidupan anak-anak kita apabila mereka dewasa nanti. Kolonialisme telah berjaya memecah-mecahkan kehidupan orang melayu kepada segmen-segmen yang kecil dan dilihat berasingan antara satu sama lain. Orang Melayu pada akhirnya dibentuk untuk mengamalkan sistem pendidikan ala barat tetapi kemudiannya kembali kepada Islam apabila tiba waktu untuk beribadat. Kejayaan kolonialism telah menyebabkan kita memisahkan pendidikan Islam daripada pendidikan arus perdana di negara kita. Peranan pendidikan agama telah dikesampingkan dan diserahkan kepada pihak swasta atau orang perseorangan untuk mengajarkan pendidikan Islam kepada anak-anak melalui sekolah agama swasta atau belajar agama d rumah-rumah guru agama. Kecuali di negeri Johor yang berjaya menguruskan sistem pendidikan agama, di negeri lain termasuk di Kelantan dan Kedah yang terkenal dengan sistem pendidikan pondok pada suatu masa lalu, kini pendidikan agama diletakkan di dalam kelas yang lebih rendah daripada pendidikan arus perdana. Manakala di sekolah masa yang diperuntukan untuk pendidikan agama sekitar empat hingga enam jam seminggu adalah terlalu kecil dan tidak memadai. Maka pendekatan yang lebih radikal, drastik dan berani perlu dilaksanakan supaya pendidikan Islam ditadbir urus secara menyeluruh dan menjadi teras kepada sistem pendidikan arus perana oleh pihak Kementerian Pelajaran.

Walaupun isu-isu di atas sentiasa dibualkan di kalangan rakyat, sejauh manakah tindakan telah diambil di dalam menangani isu ini. Tindakan secara sekali sekala atau ad hoc bukan sahaja akan menemui kegagalan tetapi juga seringkali menimbulkan keraguan di pihak ibu bapa. Itulah sebabnya perlaksanaan KBKK, pendidikan nilai dan kewarganegaraan serta perlaksanaan Bahasa Inggeris di dalam matematik dan sains sering ditempelak, tidak lain dan tidak bukan kerana sifatnya yang ad hoc dan tidak dirancang secara teliti dan berhati-hati.

Walaupun pihak Kementerian Pelajaran telah berjaya meningkatkan keupayaan pengurusan pendidikan, latihan guru serta lain lain hal yang berkaitan dengan pendidikan tetapi sehingga kini perbincangan masyarakat massa menunjukkan lima isu di atas sudah sampai ke tahap yang perlukan pengubahsuaian atau lebih baik merevolusikan sistem pendidikan untuk kebaikan anak-anak cucu pada masa depan.

SEJARAH BANGSA AKAR KEKUATAN ORANG MELAYU

Bangsa Melayu sedang menghadapi krisis identiti. Sedih dan sebolehnya kita cuba menafikan tetapi itulah hakikatnya. Tsunami pilihanraya 2008 bukanlah akar puncanya tetapi lebih berupa isyarat untuk menyedarkan pimpinan Melayu. Krisis identiti mula berlaku apabila bangsa Melayu lupa sejarah bangsanya. Maka jangan hairan jika akhir akhir ini banyak muzakarah dan forum membincangkan masa depan bangsa Melayu. Berbagai pihak mula bercakap soal institusi beraja yang satu ketika dulu tak ada yang berminat untuk membincangkannya, begitu juga soal ketuanan Melayu dan juga tentang agungnya Islam dan bahasa Melayu. Berbagai seminar dan ceramah berkaitan halatuju dan survival politik Melayu diadakan. Mengapa setelah bangsa Melayu khususnya UMNO hilang hampir separuh kuasanya ke tangan pembangkang? Mengapa sekarang?

Masyarakat Melayu umumnya mengetahui bahawa sejarah mereka telah bermula sejak tahun 1400 masihi lagi. Walaupun ada pandangan yang mengatakan sejarah orang Melayu telah bermula lebih awal, tetapi dengan mengambil kira definisi Melayu berasaskan adat resam, raja dan agama Islam maka tidak syak lagi sejarah orang Melayu hanya bermula pada awal tahun 1400 masihi. Jika dihitung tempohnya, sejarah orang Melayu tidaklah begitu panjang berbanding sejarah bangsa utama dunia yang lain yang menjangkau ribuan. Tempohnya baru 600 tahun sahaja.

Mengimbau sejarah, orang Melayu bertuah kerana dianugerahkan oleh Tuhan Yang Esa dengan tanah airnya sendiri yang dinamakan Tanah Melayu (dan kemudian menjadi Malaysia). Orang Melayu bertuah kerana sejak 600 tahun mereka tidak perlu berperang puluhan tahun untuk mempertahankan tanah air mereka. Orang Melayu juga sungguh bertuah kerana merdekanya tanah air mereka di atas meja rundingan dan bukannya di medan peperangan. Lebih bertuah jika difikirkan bagaimana orang Melayu masih terus kekal memerintah sejak 600 tahun dahulu tanah air mereka sendiri. Tetapi tuah tidak akan selalu akan terus menjadi milik orang Melayu. Tuah itu pun bukannya datang bergolek tetapi berkat semangat, doa dan permuafakatan Melayu. Apalah maknanya ketuanan Melayu yang sering diwar-warkan kalau orang Melayu langsung tidak memahami bagaimana ketuanan itu diperolehi. Ketuanan Melayu hanya hasil, tetapi sejarah bangsa Melayu adalah prosesnya.

Pada setiap zaman orang Melayu pasti mengalami perubahan. Sejak era tradisional ke era penjajahan, modenisasi, industri sehingga sekarang globalisasi. Pada setiap era orang Melayu sentiasa berusaha untuk berubah untuk menjadi bangsa yang lebih baik. Tetapi fakta sejarah menunjukkan sebaik manapun pencapaian orang Melayu, pastinya akan ada bangsa lain mendapat pencapaian yang lebih baik. Sebagai contoh, walaupun kerajaan Melayu Melaka dipimpin oleh Kesultanan Melayu dan para pembesar adalah orang Melayu tetapi yang mengaut laba dan hasil negeri Melaka adalah pedagang Arab, Cina dan India. Bila penjajah Inggeris membantu membangunkan sekolah Melayu tatkala masyarakat bukan Melayu terpaksa berhempas pulas membangunkan sistem pendidikan mereka sendiri, sepatutnya pendidikan orang melayu jauh lebih maju, tetapi sebaliknya lebih ramai orang yang berpendidikan tinggi adalah dikalangan masyarakat bukan Melayu. Bila universiti mula ditubuhkan oleh kerajaan dengan memperkenalkan sistem kuota demi bangsa Melayu, tetapi sebaliknya para graduan terbaik bilangan teramainya adalah di kalangan bukan Melayu.

Apabila Dasar Ekonomi Baru diberikan kepada kalangan bumiputera khususnya kalangan Melayu sebagai satu keistimewaan, yang menjadi kaya raya rata rata bukan orang Melayu dan walaupun kuasa politik dipegang oleh orang Melayu, pimpinan Melayu terpaksa merayu dan melobi pengundi bukan Melayu untuk memerintah, tak kisah daripada parti kerajaan atau pembangkang. Memikirkan hal ini sudah cukup memenatkan. Maka apabila ada tokoh Melayu mula keluar parti semata mata kerana tidak berpuashati dnegan rakannya separtinya satu masa dahulu, fikiran yang sedang penat mula menjadi bosan. Jelas sekali orang Melayu yang dikatakan telah maju semakin lupa sejarah bangsa mereka. Mereka khususnya para pemimpin mulai lupa hakikat bahawa sebagai pemimpin, mereka datang dan pergi. Hari ini dengan kudrat dan tenaga yang ada mereka membangunkan anak bangsa mereka, sampai masanya orang lain akan mengamtikan mereka. Apa yang penting ialah teruskan perjuangan membangunkan anak bangsa, tidak berpecah belah tetapi sentiasa bertimbang tara dan berbincang. Yang berpengalaman memberi nasihat, yang muda menimbangkannya. Pada akhirnya bangsa melayu tak akan rugi dan terus maju ke hadapan.

Sejarah bangsa Melayu yang menjangkau 600 tahun nampaknya tidak begitu dihayati oleh para pimpinan dan masyarakat umumnya. Rasuah, penyalahgunaan kuasa untuk keluarga dan rakan-rakan, tidak amanah, suka berpoya-poya, suka memegang kuasa walaupun terpaksa bersengketa sesama sendiri nampaknya masih begitu kuat menguasai sebahagian pimpinan Melayu. Nasihat cendiakawan Melayu agar pimpinan Melayu memperbetulkan keadaan ini nampaknya gagal. Pimpinan melayu semua peringkat serta bangsa melayu secara umumnya masih tidak belajar atau kurang insaf bagaimana jatuhnya Melaka kepada Portugis kerana khianatnya pembesar Melayu yang bersekongkol dengn pedagang asing yang mencari keuntungan segera, atau bangsa melayu telah lupa tragedi Perjanjian Pangkor dek kealpaan kepemimpinan Melayu seluruh negeri tergadai kepada penjajah barat. Pimpinan Melayu juga mungkin sudah lupa bagaimana sukarnya orang Melayu menentang Malayan Union sehingga berjaya. Apakah pimpinan Melayu tidak ingin menjadi seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Tok Bahaman atau Dol Said, berkorban nyawa semata-mata untuk perjuangan bangsa Melayu. Jangan kerana kita sudah berkot dan bertali leher, selesa berucap di dalam bahasa asing, menaiki kereta mewah dan tinggal di rumah yang cantik maka agenda bangsa Melayu tidak menjadi keutamaan lagi.

Mungkin di kalngan pimpinan Melayu kita sudah tidak boleh menterjemahkan semangat perjuangan bangsa lagi. Pimpinan Melayu yang ikhlas menjulang perjuangan bangsa akan sentiasa bersatu, tidak berpecah belah, amanah dan ikhlas dalam perjuangan, tidak berharap kepada kedudukan dan pangkat serta komited dengan perjuangannya membela masyarakat Melayu. Malangnya pimpinan Melayu semakin lupa sejarah. Kita mungkin biasa mendengar ucapan yang hebat pemimpin melayu dengan hujah-hujah yang sebenarnya telah disediakan oleh pembantu mereka, tetapi yang nampak di luar belum tentu sama dengan apa yang ada di dalam hati mereka. Semoga Allah sahaja yang mengetahui apa yang ada di dalam hati dan sanubari para pimpinan Melayu, rakyat hanya boleh berdoa agar pemimpin mereka benar-benar ikhlas berjuang.

Bukan sahaja lupa kepada sejarah bangsa, masyarakat Melayu juga gagal menterjemahkan ajaran Islam yang begitu sempurna untuk membina kecemerlangan sepenuhnya. Jelas begitu tebalnya masalah bangsa Melayu untuk menjadi bangsa yang berjaya. Cuba kita teliti satu persatu segmen kehidupan kita dan di mana letak duduknya bangsa Melayu yang berjumlah lebih kurang 15 juta orang. Dalam bidang ekonomi, secara umum kita hanya menguasai 18% agihan kekayaan negara. Selebihnya dimonopoli oleh bangsa bukan Melayu serta syarikat dan konglomerat antarabangsa. Lihat juga sektor pekerjaan, hampir keseluruhan pekerjaan profesional di kuasai oleh bukan bangsa Melayu seperti doktor, jurutera, akauntan serta peguam. Begitu juga sektor ICT, pembankan dan juga pembinaan. Sektor sosial pula menunjuk begitu banyak kewujudan NGO di kalangan masyarakat bukan Melayu. Walaupun ini merupakan sesuatu yang membanggakan sebagai rakyat Malaysia tetapi NGO Melayu masih sangat kurang bilangannya. Kaalu pun ada , NGO Melayu masih terikat kepada soal sukan dan politik semata-mata. Sektor politik walaupun dikuasai oleh bangsa Melayu tetapi bentuknya bukanlah mutlak tetapi atas dasar negosisasi dan ihsan bangsa lain. Jelas walaupun sebagai bangsa majoriti (61%) dari segi penduduk, pencapaian bangsa Melayu masih jauh di belakang. Banyak usaha dan tenaga perlu ditumpukan untuk maju ke hadapan. Berpecah belah dan bersengketa sesama pimpinan Melayu bukan sahaja melambatkan usaha memajukan bangsa Melayu tetapi menarik bangsa Melayu ke belakang semula.

Bangsa Melayu tentu ingin maju ke hadapan dan mahu menjadi bangsa yang lebih hebat 100 tahun akan datang. Tetapi sejarah 600 tahun dahulu perlu diinsafi terlebih dahulu sebelum menjadi bangsa yang hebat. Anak-anak kita diajar di sekolah tentang bersatu padu, cintakan bangsa dan negara tetapi di luar bilik darjah mereka melihat tokoh kebanggaan mereka berpecah belah antara satu sama laian. Ironinya, keadaan ini tidak menguntungkan sesiapa khususnya bangsa Melayu itu sendiri. Para pimpinan Melayu dianjurkan supaya perkasakan keinsafan mereka terhadap sejarah bangsa Melayu untuk menjadikan mereka pemimpin sebenar bangsa Melayu. Tunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat. Rakyat juga harus turut insaf dan mulai membaca sejarah bangsa sendiri. Percayalah, hanya pemimpin yang menginsafi sejarah bangsanya sahaja akan berjuang untuk menjadikan bangsanya hebat dan berdaulat.

UKM UNGGULI PENDIDIKAN TINGGI NEGARA

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) genap 38 tahun ini. Semenjak ditubuhkan pada 18 Mei 1970, UKM telah melahirkan lebih 130 ribu graduan di dalam pelbagai bidang pengajian. Sudah ramai doktor, jurutera, pentadbir dalam kerajaan, swasta dan badan berkanun dilahirkan oleh UKM. Jelas bahawa UKM yang telah diilhamkan atas aspirasi rakyat sejak awal tahun 1920an khususnya oleh orang melayu telah berjaya seperti yang diimpikan. Malah lebih menarik, setelah 38 tahun dibangunkan, UKM sebagai sebuah universiti yang berteraskan budaya Melayu dan Islam serta menjunjung bahasa melayu sudah mulai setaraf dengan universiti cemerlang di peringkat dunia.

Di peringkat negara, UKM sudah pun diiktiraf oleh pihak kerajaan dengan memenangi Anugerah Kualiti Perdana Menteri pada tahun 2006, dan pada tanggal 11 Oktober 2006 yang lalu UKM telah dinobatkan sebagai salah sebuah daripada empat buah universiti yang berstatus Universiti Penyelidikan di Malaysia. UKM juga telah memenangi pelbagai anugerah kecemerlangan penyelidikan di peringkat antarabangsa dan di dalam negara. Kini UKM terus mengorak langkah untuk menjadi sebuah institusi pengajian tinggi di Malaysia yang tersohor. Para pimpinan UKM, para ahli akademik serta kakitangan memahami aspirasi murni rakyat dan terus berusaha untuk memajukan UKM bersama-sama.

Sejajar dengan usaha meningkatkan lagi kecemerlangan UKM, pada 18 Januari 2008 yang lalu, Naib Canselor UKM yang ke-lapan, Profesor Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin telah membentangkan syarahan Naib Canselor beliau yang bertajuk UKM ke Arah Universiti Penyelidikan Unggul. Syarahan ini merupakan syarahan tahunan yang dihadiri oleh para ahli akademik IPTA, para jemputan khas, kakitangan akademik, kakitangan sokongan serta para pelajar UKM. Lebih 1,500 orang jemputan memenuhi Dewan Tun Abdul Razak (DECTAR) untuk mendengar syarahan pemimpin nombor satu UKM ini.

Setelah lebih setahun menerajui UKM, beliau telah membuat banyak analisis, mengkaji kejayaan universiti luar negara, berbincang dengan ramai orang dari pelbagai pihak di UKM dan luar UKM, mengkaji secara terperinci kekuatan, kelemahan, kekangan serta peluang yang melingkungi UKM dan tidak syak lagi syarahan beliau ini adalah berasaskan semua input yang beliau rumuskan untuk dibentangkan kepada semua yang hadir di dalam majlis tersebut.

Memulakan ucapan, Naib Canselor UKM telah menimbulkan soalan yang menarik kepada para hadirin.”Ke mana UKM akan pergi di dalam dunia penuh persaingan” soal beliau. Beliau telah menyenaraikan beberapa cabaran yang bakal dihadapi oleh UKM khususnya ke arah universiti apex yang terkandung di dalam pelan strategik Kementerian Tinggi Malaysia. Antara cabaran yang perlu ditangani ialah warga UKM perlu memahami perubahan struktur ekonomi lokal berasaskan pengeluaran kepada ekonomi global berasaskan ilmu dan bagaimana warga UKM harus mengambil tindakan yang sewajarnya berkaitan cabaran ini. Oleh itu beliau menasihatkan ahli akademik UKM bersedia memahami serta menganalisis situasi yang berkaitan liberalisasi, struktur mobiliti kewangan dan keperluan untuk menguasai kecekapan di dalam menguruskan ilmu serta inovasi. Cabaran lain ialah status sebagai sebuah universiti penyelidikan menuntut UKM lebih proaktif dan memiliki warga kerja produktif.

Mengambil contoh syarikat syarikat pasaran baru muncul yang mempunyai daya saing yang kuat dan memiliki pekerja bermotivasi tinggi seperti Levono, Samsung, MISC dan Infosys, ‘UKM harus bergerak lebih pantas seperti syarikat-syarikat tersebut’, ujarnya. Sehubungan dengan itu UKM harus bersedia untuk melaksanakan kolaborasi dengan universiti-unversiti tersohor di dunia,begitu juga dengan syarikat gergasi di dalam industri, merancang menarik lebih ramai profesor ulung serta berusaha untuk mengambilalih dan menjana teknologi baru. Oleh itu apabila UKM dianugerahkan status universiti penyelidikan pada tahun 2006, fokus telah diberikan kepada tiga agenda utama iaitu meningkatkan kualiti akademik, melaksanakan lebih banyak penyelidikan serta mengerakkan lebih banyak program program khidmat masyarakat.

Agenda UKM di dalam meningkatkan kualiti akademik diharapkan akan melahirkan lebih ramai tenaga modal insan bagi memenuhi kehendak majikan serta negara. Pada masa yang sama UKM akan memastikan bahawa tanda aras majikan diambilkira di dalam menyediakan modal insan keluaran UKM. Penanda aras juga penting kepada penyediaan graduan yang ingin menjadi usahawan selepas tamat pengajian mereka. Agenda kedua UKM adalah membina budaya penyelidikan yang tinggi di kalangan para tenaga penyelidiknya. Sesuai dengan itu, berbagai aktiviti telah dirancang untuk dilaksanakan seperti menjana, menyerap serta mengadaptasikan ilmu dari seluruh dunia. Selain itu UKM juga berusaha untuk mencari pengetahuan baru, mencari idea, melakukan inovasi serta menghasilkan ciptaan yang bernilai tinggi. Agenda ini akan menjadikan UKM sebagai pusat pemerolehan dan juga pusat pengembangan teknologi negara.

Agenda ketiga, iaitu meningkatkan khidmat masyarakat dirancang dengan cita-cita agar UKM dalam masa yang terdekat berupaya menjadi role model kepada konsep pengukuhan perpaduan, jatidiri kebangasaan dan juga keadilan sosial. Sejajar dengan itu para pelajar serta tenaga akademik digalakkan terlibat dengan aktiviti berasaskan khidmat masyarakat. Menjadi kebiasaan di UKM, pada setiap minggu para pelajar UKM akan ke kampung-kampung dan sekolah, hospital, rumah orang tua dan anak yatim memberikan bantuan khidmat sebagai menyahut seruan membina masyarakat penyayang yang digalakan oleh pihak kerajaan. Pada akhirnya, UKM diharapkan bersedia untuk memberikan sumbangan kepada kesejahteraan negara dan masyarakat sejagat dalam lingkungan yang lebih besar.

Sejak UKM berjaya mencapai tahap sebagai salah sebuah universiti antara 200 yang terbaik dunia dua tahun lalu, impian untuk menjadi universiti kelas dunia tumbuh subur di kalangan para ahli akademiknya. Impian ini nampaknya semakin meresap menjiwai warga UKM. Mereka percaya bahawa jika berkerja kuat, bersatu hati serta dipimpin oleh pentadbir universiti yang dinamik, impian untuk menjadi sebuah universiti kelas dunia akan berhasil tidak lama lagi. Oleh itu di dalam ucapannya, Naib Canselor UKM menekan soal menghasilkan penerbitan berasaskan penyelidikan yang berkualiti di dalam jurnal antarabangsa yang berimpak tinggi. Beliau juga menyarankan supaya warga akademik UKM harus sentiasa berani untuk menonjolkan kebolehan dan keupayaan tanpa perlu menunggu lebih lama. “Kita harus berani untuk bersaing demi menjadi yang terbaik’ ujar beliau kepada seluruh waraga akademik UKM di dalam syarahan tersebut.

Prof Dato’ Dr Sharifah Hapsah juga telah mengemukakan enam tujahan atau fokus utama yang akan digerakkan oleh UKM bagi menjadi universiti penyelidikan yang unggul. Tujahan tersebut, pertamanya pembangunan jatidiri kebangsaan, kepelbagaian budaya dan globalisasi. Kedua, menekan penyelidikan berkaitan pembangunan lestari wilayah. Ketiga, meneroka tenaga keterbaharuaan. Keempat, memajukan teknologi kesihatan dan perubatan. Kelima, menguasai bidang perubahan iklim dan yang terakhir ialah menyelidik berkaitan nanoteknlogi dan bahan termaju. Semua tujahan ini telah diibentangkan adalah berasaskan kepada keadaan serta kekuatan yang telah sedia ada dimiliki oleh UKM. Melalui enam tujahan ini, belaiu yakin UKM akan berupaya berkembang dengan lebih terfokus serta berupaya dengan lebih cepat menjadi universiti penyelidikan yang terunggul. “Kita tidak boleh cemerlang dalam semua bidang lebih-lebih lagi jika dilakukan secara terpisah”, ujar Prof Dato’ Dr Sharifah.

Pengalaman di kebanyakan universiti yang telah berjaya mencapai tahap kelas dunia, ialah mereka (universiti) berkeupayaan untuk melakukan pemilihan tujahan dan kemudian menyepadukan dengan semua aktiviti kampus secara konsisten. Hal ini perlu diadaptasikan oleh UKM untuk terus berkembang maju dan berbeza dengan universiti yang lain samada di Malaysia atau wilayah di rantau ini. Apabila sesebuah universiti telah mengenalpasti tujahan yang jelas, secara langsung universiti tersebut akan dapat mengagihkan sumber secara berkesan, menjadi lebih relevan di pasaran berbanding pesaing, menarik pelaburan yang lebih besar khususnya di peringkat antarabangsa serta merangsang usaha daya cipta baru dan menambahnilai hasil sedia ada.

Beliau juga banyak menyentuh kepada sistem penyampaian yang berkesan untuk menjadikan UKM sebagai sebuah universiti penyelidikan yang unggul. Sistem penyampaain tidak syak memang sentiasa melemahkan organisasi jika tidak dipantau dan diselia secara serius. Kelemaham sistem penyampaian akan melambatkan proses kerja dan pada akhirnya menghasilkan produk yang tidak berkualiti, ketinggalan serta tidak berdaya saing. Oleh itu penekanan kepada sistem penyampaian akan membawa UKM maju ke hadapan serta menguasai persaingan yang ada. Bagi memastikan sistem penyampaian UKM sentiasa berkesan, Prof Dato’ Dr Sharifah Hapsah mencadangkan beberapa langkah praktikal yang perlu dilakukan dengan kadar segera dan menyeluruh. Antaranya, menyusun semula organisasi dan governan UKM, melakukan pengukuhan inovasi, menekankan kepentingan kualiti serta merancangkan penjenamaan institusi yang bersepadu. Beliau juga meletakkan kepentingan untuk UKM menyediakan tenaga pelapis sebagai pentadbir dan penyelidik secara sistematik agar kesinambungan memartabatkan UKM sebagai universiti yang unggul berterusan untuk satu jangka masa yang panjang.

UKM pastinya tidak akan melupakan penat jerih masyarakat Malaysia khususnya orang melayu yang telah berjuang sehingga terdirinya sebuah universiti kebangsaan yang boleh dibanggakan. Setelah 38 tahun, kini UKM telah melangkah jauh terkehadapan, berkat kesungguhan para pemimpin dan ahli akademik yang terdahulu. Kini di bawah kepimpinan Prof Dato Dr Sharifah Hapsah, UKM membuka lembaran baru untuk bertekad menjadi sebuah universiti penyelidikan yang unggul. Tidak mustahil jika semua warganya bersatu hati dan menghayati semangat para pejuang penubuhan universiti bertuah ini, satu hari nanti UKM akan melahirkan seorang tokoh ulung yang menjulang Hadiah Nobel yang berprestij, tanda kecemerlanagn ahli akademik UKM di peringkat dunia. Sehingga itu, diucapkan selamat berjuang warga UKM demi maruah bangsa, negara dan agama sebagaimana yang telah diharapkan oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia.

PERKASAKAN PENGAJIAN HUBUNGAN ETNIK



Piliharaya ke 12 telah pun berlalu. Bagi calon yang menang, sekarang sibuk dengan tugasan bersama rakyat. Bagi yang kalah, mereka juga tentunya sibuk berkira-kira bagaimana untuk menang di dalam piliharaya yang akan datang jika terpilih lagi sebagai calon. Apa yang pasti kempen piliharaya telah meninggal luka dan parut kepada banyak kumpulan tidak terkecuali kumpulan etnik. Segala kata mengata, sindir menyindir serta benci membenci khususnya yang melibatkan kumpulan etnik haruslah dilupakan segera dan kembali memperkasakan hubungan etnik demi kestabilan dan keharmonian negara. Tidak syak lagi selepas PRU 12, tanggungjawab bersama kita adalah untuk memastikan hubungan etnik sentiasa kukuh dan baik.

Institut Kajian Etnik atau singkatannya KITA telah mula beroperasi pada November 2007 lalu di Universiti Kebangsaan Malaysia di bawah pengasas dan pengarah yang pertama, Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin. Kewujudan KITA membuktikan betapa seriusnya perhatian yang diberikan oleh pihak kerajaan berkaitan pembangunan hubungan etnik dan integrasi kaum di negara ini. KITA akan memainkan peranannya sebagai institusi pemikir untuk memantapkan lagi proses hubungan etnik di negara ini melalui penyelidikan, penerbitan bahan ilmiah, perbincangan, seminar dan konvensyen serta menunjukkan jalan bagaimana kestabilan sosial dapat dicapai melalui pembudayaan hidup yang memperakukan kepelbagaian etnik. Kewujudan institut ini selain dapat dimanafaatkan oleh rakyat di dalam negara, diharap akan menjadi pusat rujukan oleh masyarakat antarabangsa di dalam berbagai bidang yang berkaitan dengan pengajian etnik misalnya kolonialisme, globalisasi, agama, media, bahasa, konsumerisme, pendidikan, pekerjaan, perbandaran, kesenian serta undang-undang.

Minggu lepas penulis berkesempatan berbincang isu perpaduan nasional dan hubungan etnik bersama pelajar-pelajar di dalam kelas. Persoalan utama yang cuba penulis kemukakan ialah apakah pemahaman pelajar di universiti tentang maksud perpaduan kaum dalam kontek hubungan etnik di Malaysia. Kumpulan pelajar ini terdiri di kalangan pelbagai etnik dan mereka merupakan para bakal guru apabila tamat pengajian kelak. Hasilnya, pelbagai jawapan diperolehi oleh penulis. Kebanyakan jawapan yang diberikan oleh pelajar sangat menarik dan di luar jangkaan penulis sendiri. Penulis dapat membahagikan semua jawapan itu kepada tiga yang utama. Bagi kumpulan pertama, maksud perpaduan ialah kita semua adalah sama atau homogen di dalam semua atau sebahagian besar di dalam kehidupan kita. Maksudnya kita bertutur dalam bahasa yang sama, mempunyai sistem pendidikan yang sama, agenda kebudayaan yang sama menerimapakai sistem politik yang sama serta bersetuju dengan agihan ekonomi yang diamalkan. Ringkasnya, kumpulan ini berpandangan tanpa persamaan atau homogenisasi, perpaduan etnik tidak akan terlaksana dan mereka juga berpendapat pihak kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya untuk memgubal dasar bagi menghomogenasikan masyarakat yang pelbagai jika perpaduan bentuk ini ingin dijayakan. Maka dasar pendidikan, kebudayaan serta dasar dasar sosial yang lain akan menjadi agenda utama perpaduan etnik.

Kumpulan kedua pula berpandangan bahawa perpaduan boleh dicapai dengan membiarkan setiap kumpulan etnik bergerak di dalam ruang yang tersendiri, asal tidak mengganggu gugat sempadan dan ruang kumpulan etnik lain. Apa yang penting ialah perlunya ada rasa toleransi serta persefahaman yang baik di antara kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain. Tugas pihak pemerintah ialah membuat penyelarasan agar setiap kumpulan etnik mendapat peluang berdasarkan undang-undang serta dasar dasar yang diperkenalkan.

Kumpulan tiga pula memberikan definisi yang pada pemikiran penulis memanifestasikan kumpulan yang mewakili masyarakat Malaysia pada masa depan. Kumpulan ini melihat perpaduan kaum sebagai mendokong fahaman pluralisme dan liberalisasi di dalam masyarakat sepenuhnya. Maknanya, tanpa mengambilkira kepelbagaian yang wujud di dalam masyarakat, semua ahli masyarakat mempunyai hak dan bertanggungjawab yang sama di dalam semua perkara. Kepelbagaian dihormati dan difahami tetapi tidak bermaksud bahawa kepelbagaian adalah satu kelebihan yang memberikan keistimewaan untuk membezakan seseorang dengan orang atau kumpulan etnik yang lain.

Meneliti perkembangan perpaduan kaum di Malaysia, kita sekarang sedang memasuki gelombang ketiga ini. Walaupun kewujudannya masih baru tetapi kehadiran gelombang ketiga ini semakin dirasai oleh ahli masyarakat khususnya di kalangan kumpulan muda. Kadang kala apabila anak-anak muda tidak begitu mementingkan rasa etnosentrik etniknya, hal ini dirujuk oleh golongan tua sebagai orang muda sudah lupa dan lalai, tidak sayangkan bangsanya serta berbagai lagi. Mungkin ada benarnya tetapi kita juga harus memahami citarasa orang muda bukan sahaja berubah di dalam citarasa makanan, cara berpakaian tetapi juga di dalam hal yang berkaitan dengan politik, pekerjaan serta perpaduan kaum. Oleh itu citarasa ini perlu dikaji dan diteliti oleh para pengkaji agar perancangan pihak kerajaan akan dapat disesuaikan degan pandangan serta citarasa orang muda.

Masyarakat Tanah Melayu pada satu ketika dulu di era pra kolonialisme memahami dan mengamalkan perpaduan etnik dalam bentuk homogeni. Kerajaan Melayu misalnya, telah berjaya melaksanakan dasar bahasa sehingga bahasa melayu menjadi bahasa untuk semua. Oleh itu, para pedagang China dan India serta Arab berusaha menguasai bahasa Melayu apabila mereka berada di Tanah Melayu khususnya Melaka, malah Bahasa Melayu pernah dikenali sebagai bahasa lingua franca pada satu masa dahulu. Inilah gelombang pertama apabila kita bercakap soal perpaduan kaum dan hubungan tenik di Malaysia.

Semasa penjajah meninggalkan Tanah Melayu, mereka telah pun menanamkan dengan begitu kuat bentuk perpaduan kaum yang direkabentuk sebelumnya untuk tujuan dan kepentingan mereka. Berbagai dasar diperkenalkan hingga setiap etnik tidak perlu berinteraksi antara satu sama lain, tetapi terus merujuk kepada pengawai kolonial bila memerlukan sesuatu. Maka dasar-dasar keselamatan, ekonomi, pentadbiran, migrasi serta tanah dibentuk mengikut keperluan setiap etnik. Pengamalan ini pernah disebut oleh Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharudin, sebagai pembentukan Ilmu Kolonial yang menyerap dan memenuhi ruang epistemologi masyarakat Tanah Melayu dan Malaysia kemudiannya. Ilmu kolonial kemudiannya telah diwariskan kepada para pemimpin Tanah Melayu. Oleh kerana Malaysia mendapat kemerdekaan secara rundingan dan proses ke arah kemerdekaan berjalan dalam suasana yang baik tanpa pertumpahan darah maka tiada rasa dendam dan benci yang membara, maka hampir seluruhnya ilmu kolonial ini diterimapakai di dalam menguruskan sebuah negara merdeka misalnya sistem berkerajaan, piliharaya, pendidikan ekonomi, dan sebagainya menggunakan sepenuhnya pemikiran dan model penjajah. Penerimaan ilmu kolonial ini juga terbawa bawa di dalam kita menguruskan hubungan etnik di negara ini. Kita mengekalkan sistem pendidikan vernakular sebagai identiti utama sistem pendidikan kebangsaan, kita juga menerima pakai konsep pengagihan ekonomi yang berasaskan etnisiti. Sejak itu juga rakyat diajar bahawa perpaduan bermaksud setiap kumpulan etnik hidup di dalam ruang dan menjalankan kehidupan mereka sendiri dan tidak perlu berinteraksi dengan etnik lain.

Sekarang, petunjuk bahawa kita sedang memasuki gelombang ketiga hubungan etnik di Malaysia semakin dirasai. Pilihanraya ke 12 baru baru ini jelas menunjuk faktor etnik bukan lagi asas untuk pengundi membuat keputusan, tidak seperti pilihanraya yang lalu. Parti berasaskan etnik tidak lagi sepopular dulu tetapi rakyat mula memilih parti multi etnik. Orang Melayu mula lebih terbuka apabila bertindak mengundi calon dari etnik Cina dan India. Orang India juga mula mengundi secara beramai ramai calon Melayu dan Cina. Malah tindakan yang sama juga mula diikuti oleh pengundi Cina. Pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran dan Kementerian Tinggi serta Jabatan Perpaduan Negara seharusnya melipatkan usaha untuk memimpin ruaag gelombang ketiga ini demi menguruskan secara berkesan hubungan etnik.

Ciri utama gelombang ketiga ialah maklumat menjadi asas pengetahuan serta panduan kepada tindakan masyarakat. Masyarakat muda khususnya dahagakan maklumat bukan sahaja berkaitan kaumnya tetapi juga maklumat berkaitan kaum kaum utama di negara ini. Persembahan maklumat jangan pula dibentangkan dalam bentuk yang asas sahaja tetapi memerlukan analisis serta persembahan fakta agar bentuk yang kritis. Ciri kedua, maklumat ini seharusnya telus, beretika serta boleh dipertanggunjawabkan. Ciri ketiga ialah meningkatkan tahap pengetahuan tentang sejarah kontrak sosial dan mengapa kontrak ini diamalkan di dalam sebuah negara merdeka seperti Malaysia. Kontrak sosial ini perlu diterangkan secara jujur kepada semua kaum supaya kumpulan yang mendapat nanti nikmat ini tidak menyalahgunakan.

Meninjau senarai kurikulum matapelajaran di dalam sistem pendidikan di Malaysia, para pelajar hanya mula belajar berkaitan hubungan etnik apabila berapa di tahun pertama semasa di universiti. Sepatutnya tiga komponen utama pendidikan etnik iaitu sejarah setiap etnik, kontrak sosial dan sensitiviti setiap etnik telah dilaksanakan di dalam sistem pendidikan sejak di peringkat sekolah lagi. Keadaan ini bagaimana pun tidak berlaku. Pada peringkat sekolah rendah mereka bukan sahaja tidak diajarkan tentang hubungan etnik dan bagaimana hidup bersama, tetapi atas atas rasa etnosentrik yang tebal, anak anak kecil ini telah diasingkan berdasarkan jenis sekolah. Selama enam tahun yang pertama di sekolah rendah mereka tidak mempunyai sebarang pengalaman yang kuat untuk berinteraksi dengan kumpulan etnik yang lain.

Di peringkat sekolah menengah, sehingga kini tiada kurikulum yang jelas untuk mengajar hubungan etnik. Malah mata pelajaran Sejarah yang diajarkan bersifat melayu-sentrik, tidak juga diterapkan nilai-nilai perpaduan kerana kesuntukan waktu dan guru tiada kemahiran secara konsisten untuk melaksanakannya. Matapelajaran sejarah juga tidak memberikan ilmu berkaitan budaya setiap kumpulan etnik yang bersifat semasa, tetapai membincangkan sejarah masyarakat era abad 18 dan awal abad 19 di mana hubunganya dengan kehidupan pelaja adalah sangat jauh. Manakala di luar bilik darjah, interaksi antara etnik sangat kurang berlaku kerana tiada usaha dan bimbingan guru-guru. Biasanya pelajar cenderung untuk beraktiviti sesama rakan seetnik sahaja. Keadaan ini berdasar kajian, terbawa-bawa hingga pelajar ini belajar di universiti atau di tempat kerja.

Apabila sampai ke universiti, baru para pelajar diajarkan ilmu hubungan etnik. Mereka perlu mengambil kursus Modul Hubungan Enik yang ditawarkan secara wajib di semua universiti. Mungkin sudah agak lewak untuk perlaksanaannya kerana secara psikologi pelajar telah mempunyai identiti, tabiat serta kelakuan yang agak kekal. Oleh itu, pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran perlu melihat semula isi kandungan pendidikan hubungan etnik ini. Demi kemajuan dan kestabilan negara, anak-anak seharusnnya diberikan ilmu hubungan etnik seawal mungkin. Mungkin membina dasar baru untuk satu aliran sekolah kebangsaan akan mengambil masa yang lama atau mustahil tetapi sekurang-kurangnya usaha untuk menghidupkan pendidikan hubungan etnik di peringkat sekolah perlu dilaksanakan secepat mungkin. Semoga kita benar benar menjadi satu bangsa Malaysia pada tahun 2020 nanti.