Sunday 20 July 2008

PENDIDIKAN UNTUK PERPADUAN ETNIK:


Pilihanraya ke 12 membuka satu lembaran baru di dalam memahami bentuk perpaduan dan hubungan etnik di negara kita selepas Mei 1969. Jelas bahawa pendidikan yang diamalkan hampir 50 tahun sejak merdeka perlu dilihat semula dari sudut falsafah serta perlaksanaan apabila kita bercakap soal perpaduan etnik di Malaysia. Apa yang dipersetujui sebagai kontrak sosial pada awal kemerdekaan kini dilihat sebagai sesuatu yang janggal dan aneh kepada generasi muda. Oleh itu menjadi satu keperluan pemikiran semula pendidikan untuk perpaduan dilakukan sesuai dengan perkembangan semasa. Cabaran yang besar di dalam pembangunan pendidikan kebangsaan untuk menyediakan satu sistem pendidikan yang memenuhi tujuan dan kehendak perpaduan kaum di negara ini. Apakah mungkin anak-anak kita boleh berinteraksi jika mereka belajar di sekolah yang berbeza untuk satu jangkamasa yang panjang, atau kita boleh saja bersetuju dengan pandangan beberapa tokoh pemikir negara seperti Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, Pengagas dan Pengarah Institut Kajian Etnik UKM yang menyatakan di dalam Kolokium Identiti, Etnisiti dan Pendidikan pada 27 Mac yang lalu di Fakulti Pendidikan UKM bahawa “suka atau tidak kita harus menerima hakikat bahawa model negara ini berasaskan kepada model masyarakat plura ,iaitu bersetuju untuk tidak bersetuju dan bersatu di dalam kepelbagaian”.Tulisan ini cuba menunjukkan realiti berkaitan pendidikan dan perpaduan kaum dan pada yang sama mengenengahkan kembali dasar-dasar pendidikan yang telah membina sistem pendidikan kebangsaan untuk kita fikirkan bersama keupayaannya untuk masa depan.

Pendidikan dan Perpaduan Kaum: Di manakah arah kita selepas ini?

Analisis data antara tahun 1996 hingga 2006 menunjukkan bahawa bilangan pelajar bagi sekolah yang berasaskan kumpulan etnik bertambah dengan begitu ketara di dalam sistem pendidikan negara. Jelas berasaskan statistik rasmi Kementerian Pelajaran menunjukkan satu pertiga pelajar dinegara ini belajar di sekolah bukan aliran kebangsaan. Keadaan ini berterusan hingga mereka tamat sekolah rendah dan kebanyakkannya akan terus menerus berada di sekolah jenis kebangsaan di sekolah menengah dan seterusnya menuntut di pusat pengajian tinggi swasta dan pensendrian. Keadaan ini jelas mewujudkan jurang interaksi yang sangat besar di kalangan generasi muda. Jadual 1 menjelaskan keadaan ini bagi sekolah rendah di Malaysia.

Jadual 1: Perbandingan Jumlah Pelajar Mengikut Jenis Sekolah Rendah
Kerajaan dan Jenis Kebangsaan bagi tahun 1996 dan 2006



Berdasarkan Perangkaan Pendidikan Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah menunjukkkan antara tahun 1996 hingga 2006 menunjukkan secara jelas pertambahan bilangan sekolah Cina dan Tamil adalah sangat sedikit berbanding dengan pertambahan sekolah Kebangsaan. Di dalam tempoh sepuluh tahun, bilangan sekolah rendah kebangsaan bertambah sebanyak 566 buah manakala hanya sebuah sekolah Cina yang di tambah dan bilangan sekolah Tamil telah berkurang sebanyak sembilan buah. Walau bagaimanapun analisis secara lebih terperinci di dalam jadual 2 menunjukan walaupun bilangan sekolah cina bertambah hanya sebuah tetapi bilangan bilik darjah di sekolah sedia ada telah bertambah dengan begitu banyak sekali. Di dalam tempoh 10 tahun billgan bilik darajah di sekolah cina bertambah sebnayak 2177 buah dan di sekolah tamil bertambah senayak 385 buah.



Latarbelakang Sistem Pendidikan Kebangsaan

Perkembangan awal sistem pendidikan di Malaysia berkait rapat dengan perkembangan serta penyebaran agama Ialam dan juga kedatangan pedagang Arab, India dan Cina. Menurut buku Sejarah Melayu, mulai kurun ke-15 hingga ke-17, orang Melayu mula mendapat pendidikan agama yang disampaikan oleh guru al-Quran di madrasah, surau dan masjid. Kedatangan Portugis dan Belanda ke Tanah Melayu tidak banyak mengubah sistem pendidikan tradisional. Perubahan yang amat ketara berlaku apabila Inggeris mula menguasai negeri-negeri Melayu. Pada zaman penjajahan Inggeris terdapat empat jenis pendidikan yang berbeza dan masing-masing berorientasikan keperluan identiti kaum iaitu Sekolah Inggeris, Sekolah Melayu, Sekolah Pondok, Sekolah Vernakular bagi etnik Cina dan India. Sejarah penubuhan sekolah Melayu bermula pada tahun1821 apabila tertubuhnya Sekolah Melayu Gelugur, Pulau Pinang. Sekolah aliran Melayu yang ditubuhkan oleh pihak penjajah menekankan kepada kurikulum asas, iaitu pelajaran membaca, mengarang, ejaan, menulis, ilmu kira-kira, ilmu alam dan latihan jasmani. Bentuk kemahiran asas yang diajar pula ialah perkebunan dan penternakan. Pendidikan aliran Melayu sengaja disalurkan mengikut dasar mengekalkan kaum tani, sehingga kurikulum sekolah Melayu tidak berkembang lebih daripada setakat memberikan pendidikan dasar selama empat tahun, kecuali latihan perguruan sebagai peringkat tertinggi pendidikan Melayu. Dasar penjajahan Inggeris menyekat peluang orang Melayu untuk mengembangkan bakat mereka, memisahkan mereka daripada perkembangan sosio-ekonomi negara. Keadaan ini telah membentuk keadaan sosial yang tidak seimbang di Malaysia apabila negara mencapai kemerdekaan. Penubuhan sekolah vernakular Cina bermula di Melaka pada 1815. Kebanyakan sekolah Cina yang ditubuhkan secara persendirian menggunakan premis perniagaan, rumah kediaman, bangunan tokong yang disumbangkan oleh orang perseorangan atau persatuan yang mewakili suku kaum Cina tertentu seperti Hakka, Hokkien dan sebagainya. Hamir semua sekolah Cina berkembnag dengan pesat di bandar besar di Pantai Semenajung Malaysia Barat seperti Kulala Lumpur, Johor Baharus, Ipoh serta Taiping.

Sejarah penubuhan sekolah Tamil bermula di Pulau Pinang dan Perak oleh pihak Syarikat Perladangan Eropah. Kehadiran pihak Inggeris yang membuka ladang getah dan kopi secara besar besaran turut merancakkan penubuhan sekolah vernakular Tamil di kawan ladang ladang kepunyaan mereka. Perubahan dasar pemerintahan Inggeris terhadap pendidikan Tamil bermula pada tahun 1902 dengan memberi bantuan dan kemudahan. Pada tahun 1925 Kod Buruh diperkenalkan. Dalam kod tersebut terkandung bahawa setiap ladang diwajibkan menubuhkan sekolah Tamil apabila terdapat lebih daripada 20 orang kanak-kanak India dalam lingkungan umur persekolahan 7 hingga 14 tahun. Pada tahun 1930 terdapat empat jenis sekolah vernakular Tamil, iaitu dibiayai oleh pemerintah, pengurusan ladang, komuniti India tempatan dan Persatuan Mubaligh Kristian.

Penubuhan sekolah Inggeris adalah sebagai langkah memperkembangkan agama Kristian dan merupakan sekolah vernakular yang terawal. Sekolah yang pertama ialah di Penang Free School, Pulau Pinang (1816). Sekolah Inggeris terbahagi dua jenis, iaitu sekolah Free School yang mendapat bantuan daripada kerajaan serta terletak di bawah naungannya sehinggalah kerajaan mengambilalih terhadapnya. Jenis kedua ialah sekolah Inggeris separa bantuan yang ditubuhkan serta dibiayai oleh persatuan mubaligh Kristian dengan mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan. Bagi memenuhi permintaan golongan bangsawan Melayu, pihak Inggeris telah menubuhkan Maktab Melayu Kuala Kangsar (1905) yang menggunakan model pendidikan Inggeris yang bercorak Grammar School di England. Pihak Inggeris memperkenalkan Special Malay Class pada tahun 1930an bagi memberi lebih peluang kepada kanak-kanak Melayu yang ingin melanjutkan pelajaran.

Pada keseluruhannya pendidikan di zaman penjajahan Inggeris ialah bersifat bebas atau laissez-faire di mana terdapat lima jenis pendidikan yang tidak mempunyai keseragaman telah wujud, iaitu Inggeris, Melayu, Cina, Tamil dan agama Islam. Setiap jenis sekolah itu mempunyai kaedah pengajaran dan kurikulum yang berbeza. Akibat kewujudan sistem ini yang kurang mempunyai sistem kawalan peringkat pusat telah menyebabkan konsep intergrasi atau perpaduan kaum sukar dilaksanakan. Sistem yang telah mengasing-asingkan berbagai kaum ke dalam jenis sekolah yang berlainan ternyata hanya memupuk sikap perkauman. Maka semasa mencapai kemerdekaan, Tanah Melayu mewarisi sistem pendidikan daripada penjajahan Inggeris yang telah menyemaikan benih perpecahan, sistem pendidikan yang terbentuk telah menjarakkan jurang perkauman penduduk Tanah Melayu. Oleh sebab itu, sistem pendidikan tersebut perlu dirombak semula, termasuklah kurikulumnya. Pembinaan semula pendidikan di Tanah Melayu pada zaman sesudah merdeka bertujuan untuk menyatupadukan tiga kaum yang terbesar – Melayu, Cina dan India supaya dapat membentuk satu rupa bangsa.

Dasar pendidikan di Malaysia pra merdeka dan selepas merdeka.

Selepas tamat Perang Dunia Kedua pada tahun 1946, Inggeris telah mengambil alih semula kuasa di Tanah Melayu. Kesan daripada penjajahan Jepun telah berjaya membangkitkan kesedaran, semangat nasionalisme dan kepentingan pendidikan di kalangan penduduk pribumi. Pihak Inggeris mula membuat penilaian, kajian dan perubahan dasar dalam sistem pendidikan di Tanah Melayu. Antara laporan dan perubahan dasar itu sehingga pra merdeka ialah Laporan Cheeseman (1946), Laporan Barnes (1950), Laporan Fenn-Wu (1951) dan Laporan Razak (1956).

Laporan Barnes 1950

Laporan Barnes merupakan satu percubaan menuju ke arah perpaduan negara apabila mengusulkan agar matlamat pendidikan hendaklah membentuk satu rupa bangsa yang berasaskan berbagai kaum. Sistem vernakular yang berasingan hendaklah dibubarkan dan digantikan dengan satu jenis sekolah yang sama untuk semua kaum iaitu sekolah nasional (kebangsaan). Antara cadangan dalam Laporan Barnes ialah:
1. Pendidikan percuma untuk semua kanak-kanak di sekolah kebangsaan.
2. Sekolah Cina dan Tamil dihapuskan pada peringkat sekolah rendah. Sebagai ganti hanya satu jenis sekolah sahaja iaitu sekolah kebangsaan.
3. Sekolah kebangsaan menggunakan satu bahasa sahaja sebagai bahasa pengantar iaitu bahasa Melayu atau Inggeris.
4. Sekolah kebangsaan ditadbir dan dibiayai bersama oleh Penguasa Pelajaran Tempatan.
5. Untuk sekolah menengah, hanya satu bahasa pengantar Inggeris sahaja yang akan wujud.

Laporan ini bertujuan untuk mempertingkatkan kepentingan bahasa Inggeris di samping mengekalkan bahasa Melayu. Namun begitu, laporan ini telah ditentang hebat oleh orang bukan Melayu terutama orang Cina kerana mereka khuatir sekolah Cina akan hilang.

Laporan Fenn-Wu 1951

Laporan Fenn-Wu diperkenalkan ekoran ketidakpuasan hati di kalangan masyarakat Cina. Di samping mempertahankan kedudukan bahasa Cina, laporan ini juga ditugaskan untuk memberi nasihat tentang penyediaan buku teks sekolah Cina yang berorientasikan kepada Tanah Melayu sebagai satu cara untuk mendekatkan masyarakat Cina dengan situasi kehidupan Tanah Melayu. Antara cadangan Laporan Fenn-Wu ialah:

1. Dasar pendidikan di Tanah Melayu hendaklah bermatlamat ke arah pembentukan kewarganegaraan Malaya.
2. Pemaksaan terhadap rakyat berbilang kaum untuk mempelajari satu atau dua bahasa akan menjejaskan perpaduan kaum.
3. Orang Cina sedar dan akan bersedia mempelajari bahasa Melayu dan Inggeris di samping bahasa mereka, maka hendaklah memberi galakan.
4. Kelemahan sistem pendidikan Cina ialah kurangnya guru terlatih dan tidak mempunyai kelengkapan yang sesuai.
5. Penubuhan Kolej Latihan Guru dan Latihan Dalam Perkhidmatan untuk sekolah Cina perlu dilaksanakan bagi mengatasi kekurangan guru.
6. Pihak Inggeris perlulah memberi dan menambahkan bantuan kewangan kepada pentadbiran sekolah Cina.

Pihak Inggeris kemudiannya telah menyatukan kedua-dua laporan itu dan dijadikan Ordinan Pelajaran 1952. Ordinan ini telah menetapkan:

1. Penubuhan dua jenis aliran persekolahan, iaitu bahasa Melayu dan Inggeris.
2. Bahasa Cina dan tamil akan diajar sebagai bahasa ketiga jika terdapat permintaan daripada ibu bapa dengan syarat terdapat 15 orang dalam sebuah bilik darjah.
3. Sekolah Cina dan Tamil tidak diterima sebagai sistem pelajaran kebangsaan.

Ordinan ini tidak dapat dijalankan kerana menghadapi pelbagai masalah. Namun begitu Jawatan Kuasa Khas telah dilantik untuk menguruskan dasar yang tercatat dalam Ordinan 1952 melalui tiga objektif, iaitu:
1. Penggunaan dua bahasa secara beransur-ansur di sekolah vernakular melayu dan penggunaan tiga bahasa di sekolah Cina dan Tamil, supaya sekolah itu akan secara beransur-ansur dapat diserapkan ke dalam sistem sekolah kebangsaan.
2. Menghadkan kadar kemasukan murid ke sekolah kebangsaan Inggeris seperti sediakala.
3. Penubuhan pendidikan menengah vokasional.

Namun begitu, sehingga tahun 1956, Ordinan 1952 tidak menghasilkan perubahan yang besar kepada dasar pendidikan yang boleh memberikan kepuasan kepada semua pihak. Manakala kaum Cina telah terus menguruskan pendidikan mereka sendiri tanpa campur tangan kerajaan dan struktur persekolahan Melayu tinggal seperti sediakala.

Laporan Razak 1956

Objektif Laporan Razak ialah untuk melahirkan sekolah yang berjiwa Tanah Melayu dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Antara kandungan yang termaktub dalam Laporan Razak ialah:
1. Persamaan sukatan pelajaran bagi semua sekolah di Tanah Melayu.
2. Bahasa Melayu akan menjadi bahasa kebangsaan dan menjadi bahasa pengantar utama di sekolah.
3. Bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris diwajibkan bagi semua sekolah rendah dan menengah.
4. Penubuhan satu jenis sekolah menegah kebangsaan yang terbuka kepada semua bangsa dan menggunakan satu sukatan pelajaran yang sama.
5. Sekolah rendah ditukar kepada sekolah kebangsaan dan bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar.
6. Penubuhan Penguasa Pelajaran Tempatan bagi mengelolakan sekolah di Tanah Melayu.
7. Semua guru diletakkan di bawah satu perkhidamatan profesional dan Jemaah Nazir Persekutuan ditubuhkan.

Laporan Razak melambangkan Tanah Melayu telah melaksanakan dasar bertolak ansur, dasar perpaduan kaum, dasar demokrasi dan dasar kesejagatan. Laporan ini juga telah menunjukkan sistem pendidikan telah bertambah maju apabila bertambahnya bilangan murid, guru dan sekolah. Sebagai asas untuk melaksanankan usul Laporan Razak, suatu undang-undang diluluskan iaitu Ordinan Pelajaran 1957. Ini merupakan sejarah Malaya, di mana perancangan pendidikan dirangka untuk meliputi semua kaum dalam masyarakat Malaya serta meliputi semua aspek struktur dan perkembangan pendidikan Malaya. Laporan Razak telah menjadi asas perkembangan pendidikan di Malaysia selanjutnya.

Laporan Rahman Talib 1960

Pada tahun 1960, Jawatankuasa Rahman Talib ditubuhkan untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK). Laporan ini adalah kesinambungan daripada Laporan Razak bagi mengkaji dan menyemak semula kedudukan mata pelajaran agama Islam, mengukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan dan memperluaskan peluang mendapat pendidikan. Antara kandungan utama laporan ini ialah:
1. Pelajaran rendah percuma untuk semua kanak-kanak.
2. Semua sekolah rendah bantuan kerajaan akan berubah menjadi Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan.
3. Umur berhenti sekolah dinaikkan kepada 15 tahun.
4. Murid akan dinaikkan darjah secara automatik.
5. Semua peperiksaan am di sekolah menengah akan menggunakan satu bahasa rasmi sahaja.
6. Pelajaran agama Islam hendaklah disediakan di semua sekolah bantuan penuh yang mempunyai murid Islam tidak kurang daripada 15 orang. penubuhan sekolah pertukangan dan sekolah menengah teknik.

Cadangan yang terkandung dalam Lapran Rahman Talib menunjukkan keazaman kerajaan membentuk satu sistem pendidikan bersifat kebangsaan yang bertujuan memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum. Laporan Jawatankuasa ini telah menjadi asas kepada penggubalan Akta Pendidikan 1961.

Akta Pelajaran 1961

Akta Pelajaran 1961 memaktubkan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang telah dilaksanakan sehingga sekarang. Dasar tersebut diasaskan kepada peruntukan utama dalam Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 dan telah melahirkan Sistem Pendidikan Kebangsaan yang terdapat pada hari ini.Ke arah mencapai matlamat perpaduan masyarakat, Akta ini telah menggariskan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama untuk semua peringkat pendidikan serta penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua murid. Akta ini menitikberatkan penghasilan tenaga kerja yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi. Sejak kemerdekaan pelbagai usaha telah dibuat ke arah pembentukan sistem pendidikan kebangsaan, melaksanakannya dan penyemakan semula dengan tujuan untuk mengukuhkan pelaksanaannya dan perjuangan bahasa kebangsaan ke arah memupuk perpaduan kaum.

Laporan Kabinet 1979

Pada September 1974, jawatankuasa Kabinet ditubuhkan untuk mengkaji pelaksanaan sistem pendidikan. Bidang rujukan yang diberikan kuasa kepada Jawatankuasa tersebut ialah mengkaji semula matlamat dan sistem pendidikan dengan tujuan untuk memastikan bahawa keperluan tenaga rakyat dapat memenuhi matlamat negara ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisplin dan terlatih. Agenda utama pendidikan masih lagi perpaduan kebangsaan. Penekanan adalah lebih kepada pembentukan kurikulum yang mempunyai kandungan sukatan pelajaran yang sama untuk mencapai perpaduan nasional. Istilah perpaduan telah dinyatakan sebagai sifat afektif yang merangkumi perasaan, emosi, sentimen, sikap dan nilai. Berpandukan Laporan Kabinet, matlamat pendidikan kebangsaan telah dikhususkan untuk:
1. Mencapai perpaduan nasional.
2. Menghasilkan tenaga kerja berkualiti kepada pembangunan negara.
3. Mencapai pendemokrasian pendidikan.
4. Menanamkan nilai positif.

Antara perubahan besar yang berlaku dalam sistem pendidikan Malaysia dari Laporan Kabinet wujudnya kurikulum baru pendidikan iaitu Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang telah diperkenalkan pada tahun 1983 dan diikuti Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989.Dasar untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dilaksanakan sepenuhnya pada peringkat menengah di Semenanjung Malaysia dan Sabah pada tahun 1982, manakala di Sarawak pula pada tahun 1990. Pada tahun 1983, dasar penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ini telah diperluaskan hingga ke peringkat pendidikan tinggi. Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa keud juga turut diberi tumpuan. Selaras dengan Akta Pelajaran 1961, sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan pada peringkat rendah yang menggunakan bahasa Cina atau bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar terus dikekalkan.

Pada tahun 1980an, akses dan peluang pendidikan untuk rakyat tanpa mengira kaum ditingkatkan dengan penambahan kemudahan fizikal dan infrastruktur terutama di kawasan luar bandar. Untuk mengurangkan jurang perbezaan peluang pendidikan antara golongan kaya dengan yang miskin, program sokongan pendidikan seperti Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Televisyen Pendidikan, Sekolah Berasrama Penuh (SBP), asrama desa dan asrama harian, biasiswa, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan program kesihatan dipertingkatkan. Kemudahan ini tidak hanya tertumpu kepada masyarakat desa tetapi juga diberikan kepada penduduk miskin di bandar.

Akta Pendidikan 1996

Dalam memasuki era kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang memberi kesan kepada perkembangan negara, kerajaan telah mengkaji semula Akta Pelajaran 1961 untuk merealisasikan cita-cita negara. Antaranya ialah:
1. Penubuhan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan.
2. Sistem pendidikan kebangsaan meliputi peringkat pendidikan prasekolah hingga ke pendidikan tinggi.
3. Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahasa pengantar.
4. Menteri Pendidikan boleh menubuhkan pendidikan teknik di mana-mana institusi pendidikan termasuklah pendidikan tinggi.
5. Penubuhan Maktab Perguruan adalah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan Malaysia.
6. Di sekolah yang mempunyai lebih daripada lima orang pelajar Islam maka adalah wajib guru agama disediakan.

Berdasarkan Akta Pendidikan 1996, Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dengan pengubahsuaian dan penambahan beberapa perkataan.

Kesimpulan

Malaysia akan terus melangkah ke hadapan. Perpaduan kaum akan terus menjadi isu yang akan panas dan sejuk mengikut keadaan semasa. Sukar untuk kita selesaikannya dalam tempoh yang singkat. Kita mungkin perlukan 50 tahun lagi untuk membina perpaduan kaum dalam erti kata yang sebenar. Tetapi sementara menunggu tempoh tersebut seluruh usaha haruslah dikerahkan untuk membina perpaduan kaum. Yang paling penting usaha ini memerlukan keikhlasan di kalangan kumpulan majoriti dan juga minoriti. Sukar tetapi kita telah berjaya membuktikanya kita boleh menguruskannya sejak 50 tahun yang lalu.



No comments: