Thursday 14 August 2008

Friday 1 August 2008

KONFLIK SEKOLAH WAWASAN


Gagasan sekolah wawasan adalah gagasan yang besar, melangkaui kepentingan kaum dan etnik, juga melangkaui batas politik dan sosial. Kegagalannya sejak mula dilaksanakan bukan kerana kelemahan menguruskannya semata-mata tetapi juga kerana sikap tidak ingin memahami keluhurannya, prasangka yang bukan-bukan serta kebimbangan yang melampaui hasrat murni kenegaraan di kalngan sesetengah pihak. Mungkin kita perlu cuba menjayakannya sekali lagi, kali ini dengan lebih bersungguh-sungguh dan bersikap terbuka kepada semua pihak yang terlibat.
Sekolah Wawasan adalah sekolah integrasi yang menempatkan beberapa buah sekolah yang berlainan aliran dalam satu kawasan yang sama. Sekolah-sekolah ini akan berada di bawah satu ’bumbung’ tanpa mengira agama dan bangsa. Konsep Sekolah Wawasan adalah bertujuan menyatukan masyarakat Melayu, Cina dan India melalui satu sistem pendidikan di dalam satu kawasan.
Konsep ini bermakna dua atau tiga buah sekolah yang berlainan aliran dan jenis sekolah dibina dalam kawasan yang sama dan akan berkongsi segala kemudahan asas yang disediakan seperti padang permainan, dewan, kantin, pusat sumber, makmal komputer dan sebagainya. Setiap sekolah akan mempunyai bangunan sendiri yang boleh disambung antara satu sama lain dengan menggunakan sistem laluan berbumbung atau jambatan penghubung (linkway).
Pembentukan Sekolah Wawasan ini tidak sesekali bertujuan mengubah pentadbiran dan sistem pembelajaran yang asal bagi setiap sekolah justeru segala urusan pentadbiran dan pengurusan kewangan akan dikendalikan oleh pihak sekolah masing-masing. Sekolah wawasan mempunyai pentadbiran secara berasingan (Peruntukan Kewangan, Anggaran Belanja Mengurus dan Pembangunan, Guru Besar dan personel yang lain-lain) bagi aliran masing-masing seperti yang dipraktikkan oleh sekolah kerajaan. Setiap sekolah akan mempunyai nama dam logo sekolah yang tersendiri, lagu sekolah dan peperiksaan sekolah masing-masing.
Warga Sekolah Wawasan digalakkan menggunakan sebahagian kemudahan sekolah secara bersama seperti kantin, lapangan perhimpunan, gelanggang permainan dan padang Bagi Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina), Lembaga Pengelola Sekolah yang sedia ada akan terus kekal seperti yang diperuntukkan dalam Akta Pendidikan 1996. Walaupun menggabungkan tiga aliran sekolah iaitu sekolah kebangsaan (SK), SJKT dan SJKC, Sekolah Wawasan tetap mempunyai pusat pentadbiran mengikut aliran masing-masing. Terdapat tiga orang guru besar berbeza dengan kumpulan guru dan juga kakitangan pentadbir yang berasingan. Sekolah Wawasan juga tetap menghormati bahasa dan kebudayaan sekolah masing-masing. Pelaksanaan Sekolah Wawasan akan selari dengan usaha mengekalkan identiti asal sekolah-sekolah berkenaan.
Satu Jawatankuasa Penyelaras yang terdiri daripada Guru Besar dan dua orang guru dari setiap sekolah diwujudkan untuk menyelaras hal- hal pengurusan mengenai kebersihan, keceriaan dan keselamatan sekolah . Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh salah seorang daripada Guru Besar dari Sekolah Wawasan berkenaan secara bergilir-gilir mengikut kesesuaian sama ada satu atau dua tahun sekali. Jawatankuasa Penyelaras tidak akan menggantikan fungsi Lembaga Pengelola SJKK (Cina) dan SJK (Tamil) Kantin sekolahpula akan dikendalikan bersama-sama oleh sekolah-sekolah berkenaan. Dalam urusan makanan, sensitiviti semua kaum akan diambil kira dan bayaran sewa akan diagihkan kepada sekolah -sekolah berdasarkan nisbah murid. Makanan yang disediakan adalah makanan yang halal dan juga turut mengambil kira sensitiviti pelbagai etnik.
Bagi menyelenggara segala hal pada peringkat pengurusan, satu jawatankuasa khas telah terbentuk yang terdiri daripada guru yang diwakili dari setiap sekolah. Konsep sekolah berintegrasi ini diharap dapat merapatkan lagi hubungan pelajar dari pelbagai etnik walaupun berlainan aliran sekolah. Semua murid dari ketiga-tiga aliran sekolah kebangsaan, Cina dan Tamil dapat menyesuaikan diri apabila berkongsi kemudahan dalam satu kompleks Sekolah Wawasan.
Bagi aktiviti kokurikulum, meskipun setiap sekolah mempunyai aktiviti kokurikulum masing-masing, tetapi setiap sekolah digalakkan menjalankan aktiviti kokurikulum tambahan bersama. Ketika aktiviti ini, setiap warga sekolah boleh menggunakan bahasa pengantar masing-masing. Contoh bagi aktiviti tambahan adalah seperti setiap sekolah menghantar wakil terbaik bagi sesuatu aktiviti.
Di samping itu, sekolah berkenaan boleh menghantar wakil sebagai satu pasukan sekolah wawasan dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang melibatkan pasukan yang mempunyai ramai penyertaan. Untuk menggalakkan lagi perpaduan antara kaum, sekolah wawasan diseru untuk mengadakan acara tahunan secara bersama seperti Temasya Sukan Tahunan, Hari Guru, Hari Kebangsaan, dan Hari Kantin.
Antara sekolah wawasan yang telah beroperasi sehingga kini ialah Kompleks Sekolah Wawasan Pekan Baru, Parit Buntar, Perak , Kompleks Sekolah Wawasan Taman Aman, Alor Setar, Kedah , Kompleks Sekolah Wawasan Tasik Permai, Pulau Pinang, Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya, Selangor dan Kompleks Sekolah Wawasan Pundut, Seri Manjung, Perak.

Bagaimanapun konsep sekolah itu ditolak keras oleh dua gabungan persatuan Cina, Dong Jiao Zhong dan Hua Zong. Bahkan dalam satu wawancara dengan pemimpin persatuan ini dalam sebuah akhbar tempatan, dilaporkan bahawa jika konsep sekolah wawasan dipaksakan ke atas masyarakat Cina, mereka akan membuat penentuan dalam pilihanraya. Isu Sekolah Wawasan dikatakan menjadi salah satu faktor penyebab kekalahan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Lunas beberapa tahun lalu. Bantahan ini juga mendapat sokongan padu daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA, MIC dan Gerakan.


Dong Zong ialah sebuah persatuan bukan kerajaan bersifat kebangsaan. Jiao Zong pula ialah persatuan guru-guru, juga ditubuhkan di setiap sekolah dan didaftarkan mengikut NGO. Kedua-dua persatuan inilah yang bertanggungjawab sebagai badan yang mengurus dan mentadbir sekolah Cina, mengutip derma, membiayai segala kemudahan dan berbincang dengan kerajaan dalam isu membabitkan pendidikan Cina. Kedua-duanya bekerjasama. Jadi, dalam apa-apa isu pendidikan persatuan ini biasanya akan bekerja dengan satu suara. Sejarah Persatuan Dong Jiao Zong sudah lama iaitu sebelum merdeka lagi. Jiao Zong ditubuhkan pada 1951 dan Dong Zong pada 1954.

Sejak ditubuhkan, Dong Jiao Zong dianggap ‘jaguh’ dalam memperjuangkan hak dan kepentingan pendidikan Cina di Malaysia. Hari ini badan induk ini bertanggungjawab menyalur dana lebih RM1 bilion setahun untuk membiayai 1,284 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan 60 sekolah menengah persendirian Cina, di seluruh negara. Keadaan ini menyebabkan persatuan ini melihat dan percaya bahawa perlaksanaan sekolah wawasan akan menyebabkan kuasa lembaga pengarah sekolah akan lenyap perlahan-lahan.

Bagi setiap sekolah rendah dan menengah Cina mereka mempunyai lembaga pengarah dan pengelola masing-masing yang ditubuhkan mengikut Akta Pendidikan Kebangsaan. Tetapi lembaga Pengelola Sekolah ini hanya di sekolah Cina saja, tidak ada di sekolah Tamil atau Melayu. Jadi, dengan adanya Sekolah Wawasan maka jawatankuasa gurubesar akan berkuasas dan bertanggungjawab mengurus dan mentadbir sekolah wawasan. Jadi, apakah fungsi Lembaga Pengelola Sekolah Cina. Mungkin ia terus wujud, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa kerana perpindahan kuasa telah berlaku. Inilah yang dirisaukan oleh Persatuan Dong Jiao Zong kerana tiada jaminan atau perjelasan dari pihak kerajaan.

Walaupun ada gesaan supaya para pemimpin MCA menyokong konsep dan memberi penerangan mengenai konsep Sekolah Wawasan kepada masyarakat Cina tetapi pemintaan itu nampaknya tidak begitu dipedulikan. Malah mantan presiden MCA Tun Dr. Ling Liong Sik pernah berkata pihaknya menghormati keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengelola Sekolah Cina yang menolak konsep sekolah wawasan dan pihak kerajaan tidak boleh memaksa sekolah Cina melaksanakan konsep Sekolah Wawasan tersebut. Nada dan reaksi pemimpin parti yang mewakili masyarakat Cina ini nampaknya lebih menjurus kepada sikap perkauman dan bukan untuk membina satu bangsa Malaysia yang dilaung-laungkan oleh mereka sendiri.

Ada juga di kalangan tokoh akademik berpendapat bahawa konsep Sekolah Wawasan yang dicadangkan sebenarnya bukan jawapan kepada keharmonian dan perpaduan kaum. Jaminan bahawa kerajaan tidak akan memaksa mana-mana sekolah menerima Sekolah Wawasan dan tidak akan menghapuskan identiti dan bahasa Cina atau Tamil, dan berjanji tidak akan menutup sekolah kedua-dua aliran itu apabila konsep Sekolah Wawasan dilaksanakan, nampaknya tidak begitu diterima oleh masyarakat Cina dan India. Ini kerana di dalam Sekolah Wawasan pengasingan murid antara kaum mengikut aliran jenis sekolah masih berlaku.

Mereka hanya berkongsi padang dan kemudahan dalam satu kawasan sekolah, sedangkan sistem pendidikannya masih kekal mengikut aliran masing-masing misalnya Melayu, Cina dan India. Perpaduan kaum tidak mampu dicapai hanya di padang sekolah. Tidak munasabah jika hanya dengan bermain bola sepak atau hoki di padang, perpaduan dapat dicapai. Di samping itu apabila Sekolah Wawasan ditubuhkan maka sekolah aliran Cina dan Tamil pula perlu dilayan sama rata dengan sekolah aliran kebangsaan. Jika ia tidak dilayan, maka akan timbul prasangka terhadap satu sama lain.

Satu lagi punca kegagalan Sekolah wawasan ialah ketika ini dikatakan sekolah Cina menghadapi kekurangan lebih 4,000 guru. Kerajaan tidak rancangan untuk melatih guru Cina dengan mencukupi. Tetapi, sekolah Melayu mempunyai lebihan dikatakan mempunyai 20,000 guru lepasan maktab setiap tahun sehingga sukar ditempatkan di sekolah. Jika Sekolah Wawasan dilaksanakan, guru Melayu yang berlebihan itu pastinya diserapkan di sekolah Cina.

Jadi, secara perlahan-lahan, masyarakat Cina percaya keadaan ini akan mengubah sistem sekolah Cina sekarang. Ini sangat dibimbangi oleh Persatuan Dong Jiao Zong. Jika inilah antara punca kegagalan melaksanakan Sekolah Wawasan jelas sekali isu hubungan etnik adalah sangat serius dan dipenuhi dengan rasa curiga dan prasangka hinggakan idea sebaik sekolah wawasan pun mengalami kegagalan. Nampaknya kita hanya membuang masa dan membazir semata-mata.